AS setuju hantar tambahan 1,000 anggota tentera ke Poland

AS bersetuju menambah 1,000 tentera di Poland bagi menangkis sebarang ancaman Rusia.

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan penghantaran 1,000 anggota tentera tambahan ke Poland, satu langkah yang mungkin mengundang reaksi daripada pihak Rusia, lapor agensi berita China Xinhua.

“Amerika Syarikat dan Poland bersetuju dengan rangka kerja untuk menghantar tambahan 1,000 anggota tentera ke Poland,” menurut Rumah Putih dalam satu kenyataan.

Dalam sidang media bersama Presiden Poland Andrzej Duda, Trump berkata, infrastruktur bagi 1,000 anggota tentera terbabit akan dibina oleh kerajaan Poland “tanpa sebarang kos ditanggung oleh Amerika Syarikat.”

Duda berkata, peningkatan kehadiran tentera AS di Poland adalah perlu untuk mempertahankan negara itu daripada Rusia dan memperkukuh hubungan Poland dengan Barat.

Poland, yang menyertai Nato pada 1999, ketika ini menjadi tuan rumah kepada kira-kira 4,500 anggota tentera AS. Ia melobi untuk sebuah pangkalan tentera AS yang kekal di Poland, malah sanggup membayar kos sebanyak AS$2 bilion untuk tujuan itu.

Trump turut mengiktiraf keputusan Warsaw untuk membeli 32 jet pejuang F-35. Sebuah pesawat pejuang F-35 AS melakukan penerbangan di depan Rumah Putih sejurus sebelum sidang akhbar bersama itu bermula.

Trump memuji komitmen penuh Poland untuk membelanjakan lebih 2% daripada Keluaran Dalam Negara Kasarnya untuk pertahanan.

Presiden AS itu kini mempertimbang secara serius untuk melawat Poland pada September.

Washington dan Warsaw semakin memperkukuh hubungan keselamatan dan diplomatik mereka.

Kedua-dua negara bersetuju dalam pelbagai isu serantau seperti isu nuklear Iran, dakwaan ancaman Rusia dan projek saluran paip Nord Stream 2.