Chong Wei bersara dari dunia badminton

Lee Chong Wei, ditemani Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) dan presiden Majlis Olimpik Malaysia Norza Zakaria ketika mengumumkan persaraannya pada sidang media di Putrajaya.

PUTRAJAYA: Jaguh badminton negara Lee Chong Wei hari ini mengumumkan persaraannya.

Bekas pemain nombor 1 dunia yang disahkan menghidap penyakit kanser hidung tahun lalu berkata keputusan itu diambil selepas pemeriksaan perubatan terbaru dilakukan di Taiwan.

“Saya memberitahu Persatuan Badminton Malaysia yang saya mahu meluangkan lebih masa dengan keluarga,” katanya.

Lee, yang 3 kali meraih pingat perak di Sukan Olimpik, berkata beliau sudah pun membincangkan hal itu dengan isterinya.

“Dia menasihatkan saya berehat. Saya berehat dan turut berbincang dengan (Menteri Belia dan Sukan) Syed Saddiq. Saya berkata, selepas Hari Raya, saya akan bersara,” kata Lee dalam nada penuh emosi.

“Kesihatan saya lebih penting.”

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya sepanjang 19 tahun lepas, termasuk Kementerian Belia dan Sukan, BAM, Majlis Sukan Negara dan para jurulatih.

Lee juga berterima kasih kepada isteri, keluarga serta semua rakyat Malaysia.

Syed Saddiq yang turut hadir berkata, Chong Wei merupakan wira rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama.

“Saya membesar menyaksikannya mengibarkan bendera Malaysia dengan bangga di kaca TV. Saya pasti rakyat Malaysia lain demikian juga.

“Mencari ganti tokoh sepertinya pasti sukar. Individu begini hanya datang sekali sepanjang hayat. Rakyat Malaysia seperti saya beruntung mendapat orang sepertinya.

Menggelarkan Chong Wei sebagai “pejuang sejati”, beliau berkata, jaguh badminton itu akan terus berlatih, hatta selepas mengetahui beliau terpaksa menjalani rawatan.

“Walaupun keputusan untuk bersara telah dibuat, semangat juangnya tidak akan mati, tetapi akan terus menyala dalam hati rakyat dan atlet Malaysia.”

Syed Saddiq

Syed Saddiq berkata, Chong Wei akan dicalonkan sebagai ketua kontijen negara ke Sukan Olimpik Tokyo pada 2020.

Presiden BAM Norza Zakaria berkata, Chong Wei merupakan seorang “lagenda badminton”.

Walaupun merakamkan kekesalannya berhubung persaraan Chong Wei, Norza bagaimanapun gembira kerana beliau dapat berbuat demikian “mengikut kehendaknya sendiri”.

“Beliau dapat menyatukan rakyat Malaysia lebih daripada orang lain. Tanpa mengira kaum, agama dan politik, kita semua berdoa semoga budak lelaki dari Pulau Pinang ini membawa pulang kejayaan untuk negara, dan beliau jarang-jarang sekali menghampakan kita.

“Walaupun ketika kejayaan terlepas daripada genggaman, beliau terus berjuang hingga akhir. Saya berbesar hati kerana dapat mengenalinya sebagai pemain dan lelaki budiman,” katanya, dengan menambah bahawa Chong Wei sentiasa bersikap merendah diri tetapi sentiasa dahagakan kejayaan, bukan untuk dirinya sahaja, tetapi juga untuk negara.

Pada sesi soal-jawab selepas sidang media itu, Chong Wei berkata, doktor menasihatkan supaya beliau berehat dan mengurangkan tekanan.

“Beliau tidak cakap bersara, tetapi saya faham maksudnya. Saya fikir telah tiba masa saya berundur.”

Beliau berkata, impiannya ialah Malaysia membawa pulang pingat emas dalam sukan Olimpik.

Ketika ditanya apakah beliau menimbangkan kemungkinan menjadi jurulatih, Chong Wei berkata, beliau akan memberi perhatian kepada pemulihan penyakit yang dihadapi sebelum membincangkannya dengan BAM.

“Jika Malaysia perlukan bantuan saya. 100% saya akan bantu,” tambahnya.

Ditanya sama ada beliau mempunyai apa-apa kekesalan, Chong Wei mengulangi bahawa perkara paling penting adalah kesihatan dirinya.

Apabila ditanya sekiranya beliau akan melatih anak lelakinya, beliau ketawa dan berkata, dia akan membiarkan anaknya membuat keputusan sendiri.

Ketika diminta menggambarkan kerjayanya dengan 1 perkataan beliau berkata, “syukur”.

“Saya berhutang dengan isteri saya,” katanya. “Kami belum sempat berbulan madu sejak berkahwin. Saya menyertai pertandingan demi pertandingan dan lebih banyak latihan. Jadi saya mahu membawa isteri saya bercuti.

“Anak lelaki saya bertanya kenapa saya tidak lagi bermain. Isteri saya menghantar sekeping gambar yang tertulis perkataan “daddy is best”. Saya menangis.”

Menyamakan kerjayanya dengan permainan “roller coaster”, beliau mengimbau kekalahan yang dialami pada pusingan pertama Terbuka Seluruh England.

“Dato Norza kata tak apa. Saya telah cuba yang terbaik. Pemain terbaik pun ada yang kalah pada pusingan pertama.

“Saya kecewa. Apabila pulang ke Malaysia, terdapat banyak media di lapangan terbang dan saya tidak tau nak cakap apa sebab saya kalah.

“(Tapi) Dato Norza beritahu saya supaya berjalan di belakangnya. Dia kata, tak apa. Ada kejohanan lain. Pada masa saya dilarang bermain kerana dadah dulu pun Dato Norza menyokong saya.”

Ketika ditanya tentang musuh lamanya, Lin Dan, Chong Wei berkata, beliau berharap pemain China itu layak ke sukan Olimpik akan datang.

“Memang sukar kerana China mempunyai ramai pemain baik, tetapi saya berharap beliau berjaya.”

Katanya, walaupun bermusuh di gelanggang, mereka merupakan kawan baik.

“Kami hanya musuh di gelanggang. Kita mempunyai penaja yang sama dan kadang-kadang kami bertemu di luar kejohanan.”

Chong Wei berkata, beliau tidak akan menerima cabaran baru buat masa ini, tetapi akan terus memberi yang terbaik kepada negara.

“Mungkin saya boleh ke gelanggang dan bermain dengan pemain muda,” katanya.

Beliau menyesal kerana gagal membawa pulang pingat emas Olimpik, tetapi berharap Malaysia akan layak ke Tokyo tahun depan.

Ditanya perkara yang akan dirinduiya selepas bersara, Chong Wei berkata, “media”.

“Saya akan merindui sokongan semua pemberita dan media. Saya akan merindui anda semua.

“Saya juga akan merindui Akademi Badminton dan semua kawan-kawan. Tukang cuci juga adalah kawan saya,” katanya.