Gambia lucuthak harta bekas presiden lebih AS$20 juta

Bekas presiden Gambia Yahya Jammeh didakwa menyelewengkan lebih AS$20 juta harta kerajaan. (Gamber Reuters)

BANJUL: Peguam Negara dan Menteri Keadilan Gambia Abubacarr Tambadou pada Rabu mengumumkan dalam sidang media mengenai pelucuthakan semua aset bekas presiden Yahya Jammeh, lapor agensi berita China Xinhua.

“Semua institusi kewangan di negara ini, terutama bank komersial, adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian terhadap tindakan dan pengumuman ini yang akan disusuli surat-menyurat khusus yang dialamatkan kepada setiap institusi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu adalah perlu susulan cadangan yang dibuat oleh Suruhanjaya Siasatan yang baru-baru ini mengemukakan laporan penyiasatan lebih 2 tahunnya terhadap urusan kewangan bekas pemerintah itu kepada Presiden Adama Barrow.

Menurut beliau, siasatan itu menunjukkan “Jammeh, sama ada secara langsung atau menerusi pihak ketiga, telah menyeleweng lebih 1 bilion dalasis (lebih AS$20 juta).”

Tambadou berkata, kementeriannya kini mengambil semua langkah untuk menasihati presiden berhubung laporan itu.

Kerajaan semasa Gambia secara konsisten mendakwa mereka mewarisi ekonomi miskin akibat penyelewengan kewangan oleh pentadbiran terdahulu selama lebih 20 tahun.