India teruskan permohonan extradisi Zakir Naik

Zakir Naik berdepan dakwaan pengubahan wang haram dan menyemai kebencian dalam kalangan penganut pelbagai agama di India. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan India akan meneruskan permohonan ekstradisi penceramah kontrovesial ke atas Dr Zakir Naik daripada Malaysia, menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India.

Pendirian New Dehli itu menyusul 2 hari setelah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Malaysia berhak menolak sebarang permohonan menghantar pulang Zakir kerana bimbang beliau tidak akan mendapat perbicaraan adil.

“Kita akan meneruskan permohonan ini dengan Malaysia,” kata jurucakap kementerian Raveesh Kumar di New Delhi.

Menurut beliau, India mempunyai perjanjian ekstradisi dengan banyak negara dan mempunyai pelbagai kejayaan membawa pulang individu yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu.

“Keadilan dalam sistem kehakiman India tidak pernah dipertikaikan,” tegas beliau dalam komen yang berkemungkinan merujuk kepada kebimbangan Zakir tidak akan mendapat perbicaraan adil di India.

Pihak berkuasa India memfailkan tuduhan pengubahan wang haram melibatkan kira-kira RM115 juta terhadap Zakir, yang mempunyai status pemastautin tetap di Malaysia.

Zakir juga dituduh menyemai kebencian dan permusuhan dalam kalangan penganut agama berlainan menerusi ceramahnya.

Isnin lalu, Mahathir berkata, Malaysia berhak menolak sebarang permohonan extradisi untuk Zakir jika yakin beliau berkemungkinan tidak akan mendapat keadilan di India.

Beliau menyamakan kes Zakir dengan usaha Malaysia membawa pulang Sirul Azhar Umar dari Australia.

Canberra enggan menghantar pulang Sirul ke Malaysia kerana bimbang beliau akan berdepan hukuman gantung sampai mati setelah disabit kesalahan membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Mahathir sebelum ini menegaskan Malaysia tidak akan mudah tunduk kepada desakan negara lain dalam menangani permohonan ekstradisi bagi mengelakkan sesiapa daripada menjadi “mangsa.”

Menurut laporan, pada 19 Jun ini mahkamah di Mumbai di jangka membuat keputusan sama ada satu waran tangkap di mana suspek tidak boleh diikat jamin perlu dikeluarkan terhadap Zakir.

Waran tangkap sedemikian akan membolehkan polis India membuat permohonan kepada Interpol mengeluarkan “notis merah” untuk Zakir di bawa pulang ke India.