Jawatankuasa Parlimen cadang panggil Latheefa minggu depan
Pengerusi PSC, William Leong berkata, pihaknya ingin tahu apa visi, cadangan dan pendekatan Latheefa Koya untuk meningkatkan kualiti SPRM dalam membanteras rasuah.
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) untuk Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam akan memanggil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya untuk menjelaskan perancangannya bagi agensi anti-rasuah itu.
Pengerusi PSC, William Leong berkata, pihaknya mencadangkan 20 Jun ini untuk pertemuan itu, tetapi ia perlu bergantung kepada kelapangan Latheefa.
“Jemputan itu untuk memberi peluang kepada Latheefa memberi penjelasan tentang beberapa perkara yang timbul. Pertamanya, sebab beliau merupakan ahli politik, bagaimana beliau akan menjalankan tugasnya dengan cara bebas tanpa pengaruh politik.
“Kedua, kita minta penjelasan bagaimana beliau menjalankan tugas, memandangkan beliau tidak mempunyai latar belakang SPRM (dalam bidang memerangi rasuah) dan pengalaman dalam siasatan.
“Ketiga, kita juga nak tahu apa visi, cadangan dan pendekatan beliau untuk meningkatkan kualiti SPRM dalam membanteras rasuah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat PSC bagi membincangkan isu pelantikan Latheefa di bangunan Parlimen hari ini.
Leong mengakui kuasa melantik jawatan utama dalam kerajaan terletak di tangan perdana menteri sejajar peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Pelantikan dibuat oleh Agong atas nasihat perdana menteri, itu adalah kuasa muktamad. Perdana menteri tak salah…tetapi peranan kita adalah untuk melakukan pemantauan.
“Kita hendak bincang, jumpa perdana menteri untuk mencapai satu persefahaman bagaimana kita boleh bekerjasama, di mana akhirnya keputusan adalah perdana menteri putuskan, kita memantau dan beri pelan kita.”
Katanya, pelantikan Latheefa menimbulkan kebimbangan kerana ia pertama kali ahli politik dipilih menerajui SPRM.
“Apa yang kita lihat adalah dari segi Akta SPRM 1997 ada perkataan ketua pesuruhjaya SPRM dari kalangan anggota perkhidmatan awam, tetapi di bawah Akta SPRM 2009, perkataan itu telah dikeluarkan.
Akta SPRM 2009 membenarkan perdana menteri melantik ketua SPRM, tetapi Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 berjanji pelantikan awam akan dibuat melalui PSC.
Pelantikan Latheefa mendapat reaksi bercampur-campur daripada pemimpin politik dan aktivis, dengan ramai yang mempersoalkan keputusan itu dibuat tanpa melalui PSC.
Kelmarin, Mahathir mempertahankan pelantikan Latheefa kerana PSC bagi meluluskan pelantikan awam tidak dapat berfungsi mengikut undang-undang.
Katanya, PSC hanya boleh berfungsi selepas Perlembagaan dipinda.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Mengenai cadangan menggantung PSC, Leong berkata, ia terpulang kepada Parlimen kerana pihaknya tiada kuasa berbuat demikian.