Jho Low perlu hadir di mahkamah hadapi pertuduhan, kata peguam

Ahli perniagaan Low Tek Jho dikehendaki di Malaysia akerana jenayah kewangan melibatkan 1MDB. (Gambar Facebook)

GEORGE TOWN: Seorang peguam kanan menolak cadangan bahawa ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho boleh dibicarakan tanpa hadir, dengan berkata, ia bukan pilihan bagi seseorang yang dituduh melakukan jenayah yang belum didakwa di mahkamah.

SN Nair berkata, di bawah undang-undang sedia ada, orang yang dituduh hanya boleh dibicarakan tanpa hadir selepas ia didakwa.

Katanya, di bawah Kanun Acara Jenayah (CPC) jika seseorang didakwa di mahkamah dan melarikan diri semasa perbicaraan, maka mahkamah boleh membuat keputusan untuk meneruskan perbicaraan tanpa kehadirannya.

Beliau berkata, di bawah Seksyen 425A CPC mahkamah juga boleh membuat keputusan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu pihak polis menangkap tertuduh dan membawanya ke mahkamah.

Undang-undang sama juga menyebut, jika tertuduh tidak hadir, maka mahkamah tidak boleh menjatuhkan hukuman seperti penjara seumur hidup atau hukuman mati ke atasnya.

Low, yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dikehendaki di Malaysia atas jenayah kewangan yang berkait dengan dana pelaburan kerajaan 1MDB.

Beliau bagaimanapun enggan balik ke Malaysia walaupun satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya, dengan mendakwa, beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di negara ini.

Rakan rapat ibu bapa Jho Low membayangkan semalam, sekiranya beliau dibicarakan tanpa hadir, maka tidak ada orang yang akan pulang ke Malaysia sekiranya mereka berasa tidak mendapat perbicaraan yang adil.

Yan Lee, yang bercakap menyokong keluarga Low sewaktu pihak berkuasa mengambil langkah merampas rumah keluarga itu di Tanjung Bungah, Pulau Pinang, juga berkata, semua orang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan salah.

Nair bagaimanapun berkata, dakwaan Jho Low bahawa beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di negara ini hanyalah rungutan biasa.

“Biasalah bagi mana-mana orang kena tuduh untuk berkata mereka mungkin tidak mendapat perbicaraan yang adil, tetapi orang kena tuduh yang tidak hadir ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan terhadap dirinya langsung tidak pernah kita dengar.

“Ia alasan yang lemah. Oleh sebab itu kita tidak membicarakan orang tanpa hadir,” katanya.

Beliau berkata, tidak hadir ke mahkamah itu sendiri merupakan sesuatu yang tidak adil. Ini kerana orang yang dituduh perlu hadir ke mahkamah bagi membela dirinya.

“Jho Low mesti diberi peluang membela diri demi kepentingan keadilan itu sendiri.”

Peguam Nizam Bashir bersetuju bahawa perbicaraan tanpa kehadiran tertuduh tidak harus diadakan, terutama sekali jika beliau juga tidak hadir untuk menghadapi pendakwaan pertamanya.

“Walaupun baik sekiranya kerajaan Malaysia Baru dilihat mematuhi undang-undang, masalah ini adalah lebih asas lagi,” katanya kepada FMT.

“Sistem kehakiman jenayah Malaysia tidak menyokong perbicaraan terhadap tertuduh yang tidak hadir dijalankan.”