Kami hanya mahu yuran seragam dengan doktor lain, kata MMA

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Mohamed Namazie Ibrahim. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menafikan dakwaan ia mahukan kenaikan baru dalam yuran rawatan doktor klinik swasta (GP).

Presidennya Dr Mohamed Namazie Ibrahim berkata, GP hanya meminta yuran konsultasi yang dipersetujui pada 2013 diseragamkan dan diwartakan.

Yuran itu diwartakan untuk pegawai perubatan yang bekerja di hospital swasta, tetapi bagi GP yang bekerja di klinik swasta, ia seolah-olah diabaikan, katanya dalam satu kenyataan semalam.

Namazie berkata, yuran semasa sebanyak RM10-RM35 bagi GP di klinik swasta tidak disemak semula sejak 1992.

Pegawai perubatan di hospital swasta yang mempunyai kelayakan sama dengan GP yang beroperasi di klinik lot kedai mengenakan yuran antara RM30 ke RM125 bagi setiap konsultasi, katanya.

Beliau memberi jaminan kepada orang ramai bahawa penyeragaman yuran tidak akan membebankan kumpulan berpendapatan rendah B40 kerana mereka tetap akan dikenakan yuran yang munasabah.

Penyeragaman yuran itu penting untuk kemapanan klinik di seluruh negara dan bagi memastikan syarikat membayar yuran yang berpatutan kepada GP untuk menjaga kesihatan pekerja mereka, kata Namazie.

“Pada masa ini, ada syarikat yang bersedia membayar yuran tinggi di hospital swasta, tetapi tidak yuran GP.”

Terdahulu Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad membayangkan bahawa yuran doktor klinik swasta mungkin akan dinaikkan pada hujung tahun ini.

Katanya kementerian akan mengemukakan cadangan kenaikan yuran itu kepada Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara dalam mesyuaratnya akan datang.

Beliau berkata demikian ketika bercakap tentang rungutan doktor kilinik swasta berhubung yuran konsultasi mereka yang tidak naik sejak 27 tahun lepas.