Naikkan yuran doktor sebelum tutup dispensari klinik, kata NGO

Menurut Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, dalam situasi sekarang, amat sukar untuk doktor klinik swasta menyerahkan fungsi menjual ubat kepada ahli farmasi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebarang cadangan untuk mengasingkan peranan doktor dan ahli farmasi mustahil dilaksanakan selagi yuran rawatan antara klinik swasta dan hospital persendirian tidak selaraskan, kata sebuah badan pemikir.

Pada masa ini klinik swasta hanya dibenarkan mengenakan caj konsultasi antara RM10 dan RM35, berbanding hospital swasta yang mengenakan yuran RM35 sehingga RM125.

Keadaan itu wujud kerana kerajaan masih belum mewartakan kadar yuran konsultasi pesakit yang dipersetujui pada tahun 2013.

Menurut Pusat Galen Untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, dalam situasi sekarang, amat sukar untuk doktor klinik swasta menyerahkan fungsi menjual ubat kepada ahli farmasi semata-mata.

Badan-badan seperti Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) lantang menggesa kerajaan mengamalkan pemisahan fungsi doktor dan ahli farmasi seperti di kebanyakan negara lain.

Kerajaan terdahulu pernah mencadangkan satu rang undang-undang farmasi yang mengehadkan doktor kepada fungsi merawat dan mengesyorkan ubat. Di bawah cadangan itu, ubat-ubatan berkenaan harus diperolehi daripada ahli farmasi.

Ketua pegawai eksekutif Galen, Azrul Mohd Khalib berkata, kebanyakan klinik swasta sudah pun terkesan kerana terikat dengan yuran konsultasi rendah.

Justeru, cadangan menyerah fungsi penjualan ubat kepada ahli farmasi akan memberi impak lebih teruk kepada klinik ini, kata beliau.

Beliau berkata, kadar konsultasi untuk klinik swasta masih sama sejak 1992 sungguhpun pelbagai kos pengurusan meningkat mendadak.

“Apa yang berlaku ialah caj konsultasi yang sama sejak 27 tahun lalu menjadi sandaran untuk membayar segala tanggungan klinik, termasuk gaji doktor,” kata beliau.

“Yuran rendah ini sudah tentu tidak memadai untuk menguruskan sebuah klinik pada masa sekarang,” Azrul memberitahu FMT.

Azrul berkata ubat-ubatan adalah sumber pendapatan utama doktor klinik swasta.

“Sebarang tindakan melarang mereka menjual ubat akan memaksa kebanyakan klinik swasta yang kini beroperasi mirip nyawa-nyawa ikan gulung tikar,” kata beliau.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysian Dr Mohamed Namazie Ibrahim berkata, pengasingan fungsi doktor dan ahli farmasi hanya boleh dipertimbangkan apabila sebuah program kesihatan insurans kebangsaan diperkenalkan.

Turut diperlukan, menurut beliau, adalah undang-undang jelas mengenai peranan dan tanggungjawab doktor serta ahli farmasi.

Undang-undang sedemikian akan melindungi kepentingan pesakit supaya mereka tidak terpaksa membeli ubat pada harga berlebihan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad baru-baru ini memberi jaminan akan berusaha sedaya upaya mendapatkan kelulusan menaikkan caj konsultasi doktor klinik swasta.