Noor Kamarul dilantik pengarah urusan, CEO baru TM

Noor Kamarul Anuar Nuruddin mempunyai 34 tahun pengalaman dalam pengurusan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi di Malaysia serta Indonesia. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) melantik Noor Kamarul Anuar Nuruddin sebagai pengarah urusan, ketua pegawai eksekutif kumpulan dan pengarah eksekutif yang baru berkuat kuasa hari ini.

Pengerusinya, Rosli Man berkata TM yakin dengan pengalaman, kepakaran dan pengetahuan dalam industri yang dimiliki Kamarul mampu membawa syarikat itu meneroka bidang pertumbuhan baru.

“Kami akan meneruskan perjalanan transformasi kami dan melaksanakan inisiatif strategik yang dirangka bagi membantu TM menghadapi cabaran semasa dan meletakkan kami lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul, 60, mempunyai 34 tahun pengalaman dalam pengurusan perkhidmatan rangkaian telekomunikasi di Malaysia dan Indonesia, dengan tumpuan kepada perkhidmatan rangkaian tetap, mudah alih dan jalur lebar mudah alih.

Beliau sebahagian daripada barisan pengurusan kanan Celcom Axiata Bhd (Celcom) yang mengendalikan pemulihan syarika itu dalam memacu pertumbuhan berterusan selama 31 suku berturut-turut dari 2003 hingga Mac 2018.

Beliau menyertai Celcom (Malaysia) Bhd sebagai ketua pegawai teknologi selama 7 tahun sejak 2003, sebelum menyertai barisan kanan Celcom, termasuk sebagai ketua pegawai teknologi maklumat dan transformasi, ketua pegawai pengalaman pengguna dan ketua pegawai projek khas dari Januari 2015 hingga Mac 2018.

Saham TM ditutup tinggi 7 sen hari ini pada RM3.81.