Polis tak sertai pasukan petugas khas siasat kehilangan Pastor Koh, Amri

Amri Che Mat hilang sejak 24 November 2016, manakala Pastor Raymond Koh dilaporkan hilang pada 13 Februari 2017.

KUALA LUMPUR: Polis tidak akan terbabit dalam pasukan petugas khas menyiasat laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berkaitan “kehilangan paksa” Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat, manakala Kementerian Dalam Negeri akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkembangan kes itu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, sebuah pasukan petugas khas bagi meneliti laporan Suhakam itu sudah dibentuk kerajaan.

“Dalam kes itu (kehilangan Koh dan Amri) polis tidak akan terlibat (siasat)…sekiranya pihak saya terlibat dalam itu nampak berat sebelah, orang tak percaya…maka ia diserahkan kepada KDN,” katanya kepada Bernama hari ini.

April lalu, Suhakam mengeluarkan laporan menyatakan Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap “kehilangan paksa” Koh dan Amri.

Susulan itu, Kabinet pada 23 Mei lalu bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk meneliti laporan Suhakam itu.

Pasukan itu akan dianggotai 6 hingga 7 individu yang akan mengesyorkan tindakan wajar perlu diambil kerajaan atau pihak bertanggungjawab dalam kes itu.

Koh, 64, dilaporkan diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, sementara Amri, 44, pengasas persatuan kebajikan, Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.