PPBM perlu tambah ahli untuk kejayaan masa depan, kata Dr Mahathir

Mahathir mahu PPBM menarik lebih ramai ahli supaya kekal menjadi parti pemerintah.

SHAH ALAM: Dr Mahathir Mohamad mengarahkan akar umbi dan kepimpinan PBPM melipatgandakan usaha menambah ahli demi kelangsungan parti setelah gagal memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Pengikut penting kerana dalam parti politik kita perlukan tenaga. Dalam PRU, kita perlu tenaga yang banyak untuk jalankan kerja parti. Kalau tidak cukup (jumlah anggota), sukar kita capai kemenangan,” kata Mahathir selaku pengerusi PPBM.

“Kalau kita tak berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mempunyai kakitangan (anggota dan jentera) yang ramai untuk berkenalan dengan penduduk di banyak kawasan, kita sukar capai kemenangan,” tambah beliau.

Mahathir yang juga perdana menteri berkata, kemenangan PPBM di hanya 13 daripada 52 kerusi Parlimen dalam pilihan raya Mei tahun lalu adalah kerana parti itu masih baru ketika itu.

“Satu sebab kita tak dapat jumlah wakil rakyat yang banyak sebab kita parti baru dan parti baru tidak dapat berkenalan dengan ramai bilangan pengundi dan rakyat.

“Sekarang kita sudah berusia 3 tahun, (dan) kalau kita bekerja kuat, kita akan dapat kekalkan kedudukan kita sebagai parti pemerintah di negara ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam Sejuta Kenangan anjuran PBPM di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, setiap sumbangan yang disalurkan kepada mana-mana parti politik mesti melalui akaun rasmi parti dan mempunyai resit.

Katanya, ia merupakan peraturan baru yang perlu dipatuhi kerana diakui, semua parti politik memerlukan dana untuk menjalankan pelbagai program untuk memenangi pilihan raya.