Sindiket seludup manusia mungkin diketuai orang berbeza, kata saksi RCI

Komander VAT69 Komando, Mohd Yusof Arifin ialah saksi ke-45 RCI penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian.

PUTRAJAYA: Seorang saksi memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ke atas penemuan kubur beramai-ramai dan kem penyeludupan manusia di Wang Kelian, mungkin ada sindiket pemerdagangan manusia yang diketuai individu berbeza berdasarkan penemuan kem itu di sempadan Perlis itu.

Komander VAT69 Komando, Mohd Yusof Arifin berkata ia berdasarkan struktur kem dan peralatan berbeza ditemui.

“Pendapat saya, kem-kem ini ada berlainan tuan. Contoh, ada kem yang ada talam (tempat makanan) warna lain, ada kem tidak ada talam.

“Bentuk (kem penyeludupan), binaan ada guna kawat duri dan ada guna kayu sahaja,” kata saksi ke-45 itu dalam pendengaran awam RCI hari ini.

Yusof berkata, 16 kem penyeludupan manusia yang tidak dibina pada waktu sama, ditemui di Wang Kelian.

“Dari keadaan fizikal semasa jumpa kem ini, ada kem yang telah ditinggalkan lama, ada yang masih baru.

“Ada kem dianggarkan sudah 3 atau 4 bulan tidak ada aktiviti.”

Beliau berkata, ada kem mempunyai bekalan air kerana ia dibina berdekatan sumber air, ada pula yang berkongsi bekalan air dengan memasang paip ke kem lain.

Bagaimanapun, katanya, tiada pendatang asing tanpa izin ditemui ketika kem itu dikesan pihak berkuasa.