3 sekeluarga maut dalam kebakaran di PJ

Tiga sekeluarga maut apabila rumah mereka di Kampung Lindungan, Petaling Jaya rentung.

KUALA LUMPUR: Tiga sekeluarga maut dalam kebakaran rumah teres 3 tingkat di Kampung Lindungan, Petaling Jaya awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norizham Mohd Nudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 2.47 pagi sebelum mengerahkan anggota ke tempat kejadian.

“Pihak bomba bergegas menghantar 20 anggota dan 3 jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya serta BBP Subang dan tiba di tempat kejadian 12 minit kemudian.

“Insiden berkenaan membabitkan 2 lelaki dan seorang wanita yang didapati terperangkap,” katanya ketika dihubungi.

Norizham berkata, kebakaran terbabit bermula dari tingkat bawah kediaman itu yang terbakar 100%, manakala siasatan awal juga mendapati rumah teres 2 tingkat itu telah diubah suai kepada 3 tingkat.

Mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Tiga sekeluarga terbabit, seorang daripadanya rentung ditemui di dalam rumah mereka di Jalan PJS 6/2.

Mereka yang maut ialah pasangan suami isteri K Kandasamy, 62, isterinya S Jayaletchumy, 59, dan anak lelaki mereka K Ganapathy, 32.

Ganapathy yang bekerja sebagai mekanik bakal melangsungkan perkahwinan pada Mac tahun depan dan majlis pertunangan dirancang November ini.

Mayat Kandasamy dan anak lelakinya ditemui di tingkat atas rumah 2 tingkat itu, manakala mayat Jayaletchumy yang rentung ditemui di tingkat bawah, di mana kebakaran dipercayai bermula, kata Ketua Zon Petaling Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Anuar Harun.

“Rumah itu tidak mempunyai pintu belakang… siasatan awal mendapati api bermula dari tingkat bawah dan merebak ke tingkat atas rumah itu. Kandasamy dan anaknya dipercayai mati akibat sesak nafas. Punca kebakaran masih disiasat,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Anuar berkata, rumah yang dipercayai dibina sekitar tahun 1980-an itu berkongsi dinding dengan rumah di belakangnya.

S Susila, adik mendiang Jayaletchumy berkata, beliau yang tinggal di Sungai Way bergegas ke rumah kakaknya itu sebaik mendapat panggilan telefon mengenai kejadian yang menimpa keluarga kakaknya kira-kira pukul 3.30 pagi.

“Apabila sampai di rumah keluarga kakak, saya lihat bomba sedang padam api dan mereka tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Susila berkata anak saudaranya akan bertunang dan majlis dirancang diadakan di rumah keluarga perempuan di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, kakak dan abang iparnya mempunyai 2 anak lelaki dan adik kepada Ganapathy juga telah meninggal dunia pada Deepavali tahun lepas.

Jiran keluarga malang itu, Yunus Ismail, 73, berkata, beliau terdengar bunyi bising dan bau asap yang kuat sekitar pukul 2.45 pagi.

“Apabila saya keluar rumah, saya lihat rumah jiran yang selang satu rumah dengan saya terbakar… saya cuba membantu memadam kebakaran kerana risau api akan merebak ke rumah lain,” katanya.