73 laluan tikus dikenal pasti di sempadan Kelantan

Seorang anggota tentera dari Batalion ke-5 Rejimen Sempadan Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah sedang berkawal di Sungai Golok ketika air cetek. (Gambar Bernama)

NARATHIWAT: Pihak keselamatan Thailand mengenal pasti sekurang-kurangnya 73 laluan tikus di sempadan Narathiwat, Thailand dan Kelantan, Malaysia.

Komander Tentera Bahagian Ke-4, Lt Jen Pornsak Poolsawat berkata pihak berkuasa Thailand akan meningkatkan kawalan sepanjang kira-kira 95 km di daerah Sungai Golok, Sukhirin, Waeng dan Tak Bai yang bersempadan dengan Kelantan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan.

“Laluan tikus itu sering digunakan kumpulan sindiket penyeludupan dan selain itu, kumpulan anggota bersenjata juga menggunakan laluan tikus untuk melarikan diri dari pihak berkuasa Thailand.

“Pihak keselamatan akan mempergiatkan rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan yang dikenalpasti bagi mengekang aktiviti penyeludupan,” katanya.

Beliau juga menyaran penduduk tempatan di sepanjang sempadan itu agar tidak lagi menggunakan laluan tikus tersebut.