Badan pemikir Sabah henti lantikan CEO Johan Ariffin

Tempoh percubaan 6 bulan Johan Ariffin Samad berakhir 31 Mei lalu.

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) hari ini mengumumkan ia menamatkan pelantikan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Ariffin Samad, selepas tempoh percubaan 6 bulannya berakhir 31 Mei lalu.

Pengerusi IDS, Simon Sipaun berkata, sepucuk surat bertarikh 3 Jun sudah dihantar kepada Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal untuk memaklumkan keputusan lembaga pengarah badan pemikir itu.

Katanya, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Anthony Kiob, akan mengetuai aktiviti harian badan pemikir itu sehingga pengganti sesuai ditemui.

“Bagi pihak IDS, kami ingin menyampaikan penghargaan kami kepada Datuk Johan dan mengucapkan selamat maju jaya kepadanya.

“Lembaga pengarah mempunyai keyakinan penuh IDS berkemampuan dan mempunyai tenaga manusia berpengalaman dan akan meneruskan peralihan untuk melaksanakan semua projek serta penyelidikan bagi kerajaan negeri.

“Institut tidak keperluan mendesak untuk mengambil CEO baru buat masa ini.”

Sementara itu, Sipaun mengumumkan bekas CEO IDS, Hasnol Ayub meletak jawatan sebagai pengarah badan pemikir itu berkuat kuasa 12 Jun lalu.

Pengumuman itu tidak dijangkakan selepas Shafie dilaporkan berkata, beliau akan membuat keputusan berhubung isu itu selepas menemui Sipaun tanpa menyatakan tarikhnya.

Johan yang menemui Shafie pada 3 Jun lalu mendakwa beliau diminta presiden Warisan itu untuk kekal sebagai CEO.

Bagaimanapun, perkembangan terbaru hari ini menunjukkan keputusan itu tidak terletak di tangan ketua menteri seperti diharapkannya, tetapi lembaga pengarah IDS yang mengundi 6-5 menentangnya.

Sekumpulan pengarah yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu mendakwa Sipaun memihak kepada Hasnol yang merupakan anak saudara bekas ketua menteri, Musa Aman, yang mungkin menjadi alasan peletakan jawatan Hasnol.