Harimau Malaya lonjak ke tangga 159 ranking Fifa

Malaysia di tangga ke-32 terbaik Asia dan ke-5 Asia Tenggara, selepas Vietnam (96), Thailand (116), Filipina (126) dan Myanmar (138). (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya berada di kedudukan terbaik dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) sejak Julai 2017, apabila menghuni tangga ke-159 setakat bulan ini.

Malaysia menghuni tangga ke-167 dunia pada Julai 2017, sebelum terus merosot ke tahap paling teruk, iaitu tangga ke-178 pada Mac 2018.

Berdasarkan senarai ranking terbaru dikeluarkan Fifa hari ini, kedudukan ke-159 itu menyaksikan Malaysia melonjak 9 tangga berbanding ke-168 pada April lalu dan menjadi antara 3 negara yang melakar peningkatan terbaik, selain Armenia dan Hungary.

Peningkatan itu ekoran kemenangan 2-0 dicatat skuad kendalian ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe ke atas Nepal pada aksi persahabatan awal bulan ini, sebelum membelasah Timor Leste 7-1 dan 5-1 dalam 2 aksi playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 baru-baru ini.

Senarai terbaru itu juga menyaksikan Malaysia menghuni tempat ke-32 terbaik Asia dan ke-5 Asia Tenggara di belakang Vietnam (96), Thailand (116), Filipina (126) dan Myanmar yang menduduki tangga ke-138.

Negara jiran, Indonesia turun ke tangga ke-160, sementara Singapura jatuh 2 tangga di kedudukan ke-162.

Belgium kekal pendahulu ranking dunia, manakala Juara Piala Dunia 2018, Perancis di kedudukan ke-2 dan Brazil ke-3.