Haziq disiasat bawah 4 seksyen, kata polis

Haziq Aziz. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis malam tadi berkata pegawai khas timbalan menteri, Haziq Aziz yang mencetuskan gempar kerana pengakuannya mengenai video seks mirip menteri disiasat mengikut 3 seksyen Kanun Keseksaan dan 1 seksyen Akta Komunikasi dan Multimedia.

Polis mengesahkan sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman menangkap Haziq, 27, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada lebih kurang 6 petang tadi.

“Ketika tangkapan dibuat, saspek berada di terminal pelepasan antarabangsa. Berdasarkan tiket penerbangan, saspek dijadualkan berlepas ke Manila,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Huzir Mohamed dalam kenyataan.

Di bawah Kanun Keseksaan, Haziq disiasat mengikut Seksyen 292 kerana mengedar bahan lucah, Seksyen 504 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak msmbangkitkan pecah keamanan, dan Seksyen 377B kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Seksyen-seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 tahun, atau denda, atau kedua-duanya; penjara sehingga 2 tahun, atau denda, atau kedua-keduanya; dan penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, Haziq disiasat mengikut Seksyen 233 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi 50,000, atau penjara tidak melebihi 1 tahun, atau kedua-duanya, boleh didenda selanjutnya bagi setiap kesalahan diteruskan selepas pensabitan.