Itu bukan anak saya, kata bapa Haziq

Dalam video yang dimuat naik ke Facebook pada awal pagi Rabu lalu, Muhammad Haziq Abdul Aziz mengaku beliau ialah seorang daripada 2 lelaki dalam klip video seks sejenis yang tersebar sehari sebelumnya.

PETALING JAYA: Bapa kepada Ketua Pemuda PKR Santubong, Muhammad Haziq Abdul Aziz, yang menjadi tumpuan ramai minggu ini susulan pengakuan gempar beliau terbabit dalam hubungan seks sejenis, berkata beliau tidak percaya itu anaknya dalam klip berkenaan yang menjadi viral di media sosial.

Abdul Aziz Ibrahim dipetik akhbar theSun sebagai berkata, beliau sudah melihat video pengakuan dan lucah itu berkali-kali.

“Individu itu nampaknya tidak jujur dan saya tidak rasa itu adalah anak saya.”

Katanya, beliau turut “menganalisis” klip pengakuan itu dengan “melihat postur, pergerakan serta nadanya, dan berharap ia adalah palsu”.

Haziq yang merupakan setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin berkata video itu yang didakwannya dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil Parlimen itu baru-baru ini.

Beliau turut menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video lucah itu, tetapi timbalan presiden PKR itu menafikan dakwaan itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.

Semalam, Kementerian Industri Utama mengumumkan Haziq digantung tugas serta-merta.

Aziz memberitahu theSun, beliau tidak dapat menghubungi anaknya setakat semalam.

Beliau turut menyifatkan Haziq sebagai “lelaki sangat baik” dan percaya anaknya bukan gay.