Kerajaan fail rayuan majikan bebas tuduhan bunuh amah

Ambika MA Shan dibebaskan pada 19 April lalu selepas pertuduhan mendera sehingga menyebabkan kematian Adelina Lisao ditarik balik pendakwa raya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan sudah memfailkan rayuan terhadap pembebasan seorang wanita yang didakwa membunuh pembantu rumah Indonesianya, Adelina Jerima Sau, tahun lalu.

Seorang pegawai Jabatan Peguam Negara berkata, notis rayuan itu difailkan pada 26 April lalu dengan petisyen rayuan diserahkan sebulan kemudian.

“Kami sudah menyatakan alasan dalam petisyen itu kenapa hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang,” kata pegawai itu yang enggan dikenali kerana beliau tiada kuasa untuk bercakap kepada media.

Beliau berkata, petisyen itu difailkan dengan segera kerana hakim memberikan alasan penghakiman sejurus membuat keputusan itu.

“Kami sedang menunggu Mahkamah Rayuan menetapkan pengurusan kes sebelum tarikh pendengaran rayuan ditetapkan.”

Pegawai itu berkata demikian selepas hampir 29,000 orang menandatangani petisyen menuntut Jabatan Peguam Negara menjelaskan pembebasan Ambika MA Shan daripada pertuduhan membunuh Adelina Lisao.

Petisyen itu yang dilancarkan kumpulan hak asasi Tenaganita itu ditujukan kepada Peguam Negara, Tommy Thomas, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

Pada 19 April lalu, Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang membebaskan Ambika, walaupun timbalan pendakwa raya meminta wanita berusia 61 tahun itu dilepas tanpa dibebaskan.

Warga emas itu didakwa membunuh Adelina yang meninggal dunia akibat kegagalan organ selepas didera di sebuah rumah di Bukit Mertajam.

Menurut laporan media, jiran ternampak Adelina dipaksa tidur dengan seekor anjing di tempat letak kereta rumah Ambika dengan kesan terbakar dan cedera di badan mangsa.

Ketika berita ini disiarkan, petisyen itu sudah ditandatangani 28,900 daripada sasaran 35,000 orang.