Kerajaan kaji keluar perbuatan cuba bunuh diri daripada Kanun Keseksaan
Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam masyarakat berusia 16 tahun ke atas adalah 29.2%, iaitu peningkatan 3 kali daripada 10.7% pada 1996.
PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara diarah mengkaji cadangan mengeluarkan perbuatan cubaan bunuh diri daripada Kanun Keseksaan dalam usaha kerajaan menangani masalah kesejahteraan mental yang semakin membimbangkan di Malaysia.
Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia antara beberapa keputusan yang dibuat pada mesyuarat kesejahteraan mental yang dipengerusikan beliau semalam.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju untuk melancarkan kempen ‘Deklarasi Keluarga’ bersempena Hari Kebangsaan yang bertujuan menerapkan nilai kekeluargaan.
Mesyuarat tersebut melibatkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Pendidikan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Pejabat Menteri Agama dan polis, katanya.
Wan Azizah yang juga menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat berkata, insiden seorang remaja perempuan berusia 16 tahun menamatkan riwayatnya selepas 69% netizen mengundi ‘D’ (bermaksud mati) di status Instagramnya bulan lepas jelas menunjukkan bahawa tahap kesedaran kesejahteraan mental perlu ditingkatkan.
“Ini juga menunjukkan pengaruh dan kesan negatif media sosial ke atas generasi muda,” katanya.
Beliau berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 mendapati prevalen masalah kesihatan mental dalam masyarakat berusia 16 tahun ke atas adalah 29.2%, iaitu peningkatan 3 kali daripada 10.7% pada 1996.
“Pada 2017, kajian yang sama memfokuskan kepada remaja sekolah berumur 13 hingga 17 tahun mendapati prevalen idea membunuh diri adalah 10% berbanding 7.9% pada 2012.
“Kedua-dua ini merupakan perkembangan yang membimbangkan dan memerlukan satu pendekatan holistik bagi menangani isu ini,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
Wan Azizah berkata, kemurungan merupakan ketidakupayaan yang utama dalam kalangan masyarakat Malaysia dengan kesan ke atas ekonomi Malaysia disebabkan penyakit mental dijangka mencecah AS$25.3 bilion pada 2030.