Kerajaan tak akan tarik balik permit import gula kepada syarikat Sarawak

Chong Chieng Jen.

KUCHING: Kerajaan tidak akan menarik balik pemberian permit import gula kepada pengeluar makanan dan minuman (F&B) Sarawak, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen.

Ini kerana persaingan dalam industri gula akan membuahkan lebih banyak kebaikan daripada keburukan kepada negara, sektor perniagaan dan para pengguna amnya.

“Dasar umum kerajaan Pakatan Harapan adalah menggalakkan lebih banyak persaingan, mengurangkan kos menjalankan perniagaan serta meningkatkan kecekapan dalam semua sektor.

“Dalam pasaran globalisasi sekarang, tidak ada negara yang mampu mengekalkan dasar perlindungan selama-lamanya…Perlindungan seperti ini akan melahirkan ketidakcekapan yang mana masyarakat umum akan terpaksa menanggung kos yang tidak wajar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjawab kenyataan MSM Malaysia Holdings Bhd dan Central Sugar Refinery Sdn Bhd semalam yang mengatakan kelulusan import permit bagi 8 pengeluar F&B Sarawak dibuat tanpa memahami sepenuhnya keadaan industri.

Chong berkata kedua-dua syarikat penapisan gula itu menikmati “kawalan secara monopoli” ke atas jualan dan bekalan gula di pasaran tempatan.

Dengan dasar baru yang membolehkan pengilang F&B Sarawak mengimport daripada penapis gula asing, ia akan memberikan penjimatan besar kepada pengilang-pengilang ini di samping mengurangkan kos perniagaan mereka.

Katanya lagi, harga gula mentah antarabangsa jatuh sebanyak lebih daripada 35% atau kepada AS$0.30 sekilogram pada Februari 2018 sehingga sekarang berbanding AS$0.45 sekilogram pada Februari 2017.

MSM dalam laporan tahunannya, menunjukkan gula mentah membentuk sebanyak 88% daripada kos pengeluaran bagi gula pasir.

“Namun, walaupun wujud penjimatan besar dalam kos pengeluaran untuk lebih daripada satu tahun, faedah berkadar disebabkan kejatuhan harga tidak disampaikan kepada pengeluar F&B, terutamanya kepada pengilang F&B di Sarawak yang tidak mempunyai kuasa penawaran terhadap kedua-dua kilang penapisan gula berkenaan disebabkan jumlah pembelian mereka agak kecil,” katanya.

Chong berharap kedua-dua syarikat penapis tersebut akan meningkatkan kecekapan perniagaan penapisan gula mereka serta menawarkan harga gula yang lebih murah, adil dan saksama untuk lain-lain perniagaan dan pengeluar F&B di Malaysia.

Beliau ketika mengulas mengenai cadangan menutup beberapa kilang yang rugi, memberitahu kementerian mungkin dapat membantu mencari pelabur bagi mengambil alih kilang-kilang tersebut dan memudahkan permohonan lesen kilang penapisan gula baharu daripada pihak berkuasa.

Ini juga akan meningkatkan bilangan kilang penapisan dalam negara dan sekali gus menambah persaingan untuk faedah lain dalam sektor bisnes yang berkaitan serta para pengguna amnya.

Satu lagi sebab yang diberikan oleh syarikat penapis ini mereka mempunyai tanggungjawab untuk membentuk simpanan atas sebab-sebab keselamatan makanan dan ini menambah kos mereka sebanyak RM7 juta hingga RM20 juta setahun.

Pengambilan gula tempatan berjumlah sebanyak 1.5 juta setan setahun, bermaksud kedua-dua syarikat penapis itu mempunyai hasil jualan gula melebihi RM3 bilion.

“RM7 juta sehingga RM20 juta adalah kurang daripada 1% daripada hasil tersebut. Jadi, ini tidak mewajarkan tambahan RM1,000 keuntungan setan (berbanding) dengan harga yang berpatutan iaitu sebanyak RM1,700 setan,” katanya.