Kit Siang gesa SPRM buka semula siasatan ke atas Apandi

Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

PETALING JAYA: Veteran DAP Lim Kit Siang hari ini menggesa ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rassuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya menjelaskan sama ada agensi ini akan membuka semula siasatan ke atas bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali, yang dilepaskan daripada tuduhan rasuah pada 2016 oleh Najib Razak.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, satu laporan dibuat oleh seorang pegawai SPRM terhadap Apandi pada Januari tahun tersebut, tetapi tiada tindakan diambil.

“Langkah itu sendiri merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 217 Kanun Keseksaan yang menetapkan mana-mana penjawat awam yang bertanggungjawab menjalankan tugas awam tetapi gagal berbuat demikian, dengan niat melindungi atau menyelamatkan mana-mana orang daripada hukuman atau pelucuthak harta, adalah melakukan satu kesalahan.

“Sementara itu Seksyen 7 Akta SPRM menghendaki mana-mana pegawai SPRM menerima apa-apa laporan berkaitan perbuatan salah dan menyiasat laporan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Apandi dilantik sebagai peguam negara pada 27 Julai 2015 menggantikan Abdul Ghani Patail yang dilaporkan digugurkan atas sebab kesihatan.

Beliau diminta berundur selepas enggan meletak jawatan walaupun didesak oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya erbuat demikian.

Apandi digantikan oleh Tommy Thomas pada Jun tahun lepas.

Menurut Lim, bekas pegawai SPRM berkata, sidang akhbar Apandi pada 26 Januari 2016 atas kedudukannya sebagai peguam negara melepaskan bekas perdana menteri Najib Razak daripada salah laku berkait 1MDB adalah bertentangan dengan syor SPRM.

“(Ia) juga bermakna mengetepikan keputusan bekas peguam negara, Abdul Ghani Patail yang merupakan satu salah guna kuasa dan konflik kepentingan besar kerana individu yang dilepaskannya daripada pertuduhan rasuah adalah individu sama yang melantiknya sebagai peguam negara,” kata beliau.

Lim berkata, bekas pegawai SPRM menulis surat kepada bekas ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Mohd Shukri Abdull pada 19 Mei 2018, mengenai laporannya terhadap Najib dan Apandi.

Katanya, Najib dan Apandi melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM, dengan Najib menawarkan jawatan peguam negara kepada Apandi dan Apandi pula menerimanya.

“Di bawah undang-undang, suapan meliputi apa-apa jawatan atau pekerjaan, dan Apandi menerima jawatan sebagai peguam negara dan selepas itu melepaskan Najib daripada semua kesalahan rasuah,” katanya.

Beliau menggesa Latheefa supaya membangkitkan isu itu apabila beliau dipanggil oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Pelantikan Jawatan Utama Perkhidmatan pada 20 Jun ini untuk berkongsi wawasan dan misinya menentang rasuah.