Lagi mayat Orang Asli di Kuala Koh dikeluarkan untuk bedah siasat ke-2, kata polis

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata, lokasi 2 mayat berada di seberang sebatang sungai, manakala 2 lagi lebih jauh di pedalaman hutan. (Gambar Bernama)

GUA MUSANG: Mayat Puja Anak Perempuan Joh, gadis Orang Asli suku Batek di Kuala Koh yang disahkan meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru akan dibawa ke hospital untuk bedah siasat kali ke-2.

Ketua Polis Kelantan, Hasanuddin Hassan berkata proses membawa keluar mayat gadis berusia 20-an itu dilakukan mengikut adat resam penduduk kawasan itu.

“Lokasi persemadian Puja sudah ditemui, juga berada di atas pelantar pada pokok. Mayat akan dihantar ke hospital untuk ujian lanjut,” katanya di Dewan Felda Aring 10, hari ini.

Puja adalah mangsa ke-2 yang sebelum ini disahkan meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru atau pneumonia pada 6 Jun lalu.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail meninjau dan mendengar taklimat tertutup di Pusat Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara di dewan sama.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy serta Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar.

Mengulas perkembangan hari ke-3 Ops Batek hari ini, Hasanuddin berkata, hasil maklumat awal, pasukan pencarian sudah mengenal pasti lokasi 4 mayat terakhir.

Hasil maklumat Orang Asli di kawasan itu, beliau berkata, lokasi 2 mayat berada di seberang sebatang sungai, manakala 2 lagi lebih jauh di pedalaman hutan.

Katanya, polis juga bersedia melanjutkan tempoh operasi jika terdapat kemungkinan bilangan mayat melebihi 12 orang seperti dilaporkan sebelum ini.

Statistik jumlah pesakit yang dipaparkan di Pusat Media di sini menunjukkan 103 Orang Asli menerima rawatan sehingga semalam membabitkan 56 pesakit luar, 42 ditempatkan di wad biasa dan 5 di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai serta Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.