Lelaki dipenjara 15 bulan kerana jerut, gantung kucing hingga mati

Al Azri Norhisham dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang menjerut dan menggantung leher seekor kucing sehingga mati, dihukum penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim, Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Al Azri Norhisham, 28, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Tertuduh yang bekerja di sebuah gerai makan didakwa secara tidak munasabah menyebabkan kesakitan atau penderitaan tidak sepatutnya ke atas seekor kucing jantan di tangga blok A3 Jalan 4/27A Seksyen 2 Wangsa Maju, Setapak, kira-kira 1.30 tengah hari 10 Jun lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mohd Ashif memohon hukuman berat dikenakan ke atas tertuduh mengambil kira tindakannya sangat kejam dan melampaui batas.

“Perbuatan yang dilakukan tertuduh adalah satu jenayah kerana melakukan kezaliman dan menganiayai haiwan yang tidak berdaya. Alasan tertuduh menyatakan dia dicakar dan digigit tidak munasabah.

“Jika dibandingkan, tertuduh merupakan seorang manusia yang dikurniakan akal fikiran waras, sepatutnya tertuduh tidak melakukan perbuatan tersebut terhadap haiwan itu.”

Bagaimanapun, Al Azri yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia ialah anak yatim piatu.

“Saya tangkap dan gantung kucing itu sebab dia (kucing) gigit dan cakar tangan saya hingga berlubang. Saya anak yatim piatu dan kerja di gerai makan,” katanya bersahaja di kandang tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, kucing jantan bernama “Jebon” milik seorang individu itu ditemui mati terjerut di depan rumah seorang jiran.

Hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah jiran pengadu mendapati tertuduh menjerut leher kucing itu menggunakan tali rafia sebelum menggantungnya di tangga depan rumah jirannya sehingga mati.