Lokman Adam, Gobalakrishnan ditahan kerana halang tugas penjawat awam, kata polis

Anggota Majlis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam dan ahli MIC N Gobalakrishnan.

PETALING JAYA: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor berkata, anggota Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang ditahan malam semalam, ditangkap di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Dalam satu kenyataan kepada FMT, ketua JSJ Selangor Fadzil Ahmat berkata, Unit Siasatan Jenayah Terkelas jabatannya bersama-sama satu pasukan dari Jabatan Forensik Bukit Aman berada di rumah Lokman di Kajang kira-kira jam 6.45 petang semalam bagi menyiasat satu kes di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Seksyen 504 adalah berkaitan perbuatan mempunyai niat untuk mengaibkan dengan tujuan memecahkan keamanan.

Fadzil berkata, Lokman diarahkan supaya menyerahkan satu telefon bimbit untuk tujuan pemeriksaan, tetapi beliau enggan bekerjasama dan mula memaki hamun pegawai polis bertugas.

Ahli MIC, N Gobalakrishnan yang turut ditahan bersama-sama Lokman, juga menghalang anggota polis dan mengherdik mereka, katanya.

“Kedua-dua mereka ditahan kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengeluarkan kata-kata kesat,” kata beliau.

Lokman dan Gobalakrishnan, yang juga merupakan bekas ahli Parlimen Padang Serai dan naib presiden PKR dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Pegawai khas Lokman, Faizul Ali Anui berkata malam tadi, Gobalakrishnan ditahan kerana menghalang pegawai polis daripada menjalankan tugas selepas cuba menghalang mereka daripada mengambil telefon daripada isteri Lokman.

Faizul yang berada di rumah Lokman ketika itu berkata, beliau berbuat demikian kerana ia tidak mempunyai kaitan dengan siasatan yang dijalankan.

Lokman ditahan beberapa jam selepas memberi kenyataan kepada polis berhubung skandal klip video seks sejenis melibatkan ketua Pemuda PKR Santubong, Muhammad Haziq Abdul Aziz dan seorang lelaki yang didakwanya merupakan Menteri Hal Ehwal ekonomi Mohamed Azmin Ali. Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Lokman sebelum itu turut membuat satu laporan polis berhubung video berkenaan.