Nelayan pakai kopiah puja tokong minta maaf

Pada 7 Jun lepas, tular rakaman video seorang lelaki melakukan pemujaan di sebuah tokong di Tanjung Piandang dengan memakai kopiah dan berkain pelikat. (Gambar Facebook)

PARIT BUNTAR: Nelayan Lim Lip Kok memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di negara ini atas keterlanjurannya mengadakan acara pemujaan di sebuah tokong di sini dengan berpakaian seperti orang Islam.

Lim, 43, berkata, beliau sangat menyesal perbuatannya itu menyinggung perasaan sahabat Islam dan Melayu seterusnya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Saya minta maaf, saya minta maaf, saya minta maaf.

“Kelakuan saya yang tidak sengaja dan tidak berniat langsung telah menyebabkan ketidakselesaan bagi rakyat Malaysia dan menyinggung perasaan orang Melayu,” katanya dalam sidang media di sebuah dewan di Tanjung Piandang di sini, semalam.

Permohonan maaf Lim dibuat dalam Bahasa Mandarin dan diterjemahkan oleh setiausaha Majlis Permuafakatan Komuniti Kampung Bagan Selatan, Tanjung Piandang, Cheah Han Boon.

Pada 7 Jun lepas, tular rakaman video seorang lelaki melakukan pemujaan di Tokong Datuk Kong, Taman Piandang Indah, Tanjung Piandang dengan memakai kopiah putih dan berkain pelikat sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan umat Islam.

Sementara itu, Biro Agama Masjid Tanjung Piandang Mohd Yusop Budin berkata, ahli jawatankuasa masjid telah berbincang dan menerima permohonan maaf itu.

“Perbuatan Lim itu menjatuhkan maruah orang Islam. Kita mahu menjaga kebajikan agama demi kesejahteraan semua pihak,” katanya.