Orang Islam India akan pastikan Naik dibicarakan secara adil, kata Subramaniam

Bekas presiden MIC, Dr S Subramaniam. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas presiden MIC, Dr S Subramaniam menyertai kritikan terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana keengganan menghantar pulang penceramah kontroversi, Dr Zakir Naik kepada pihak berkuasa India.

Subramaniam mempersoalkan pertimbangan Mahathir bahawa Naik tidak akan mendapat perbicaraan yang adil di India, mengatakan kerajaan Malaysia tidak wajar mengulas mengenai sistem keadilan negara lain.

“Patutkah kita mula menghakimi sistem kehakiman negara-negara asing mengikut kesenangan kita?” soal bekas menteri kesihatan itu di Facebook.

“Bagaimana kalau negara lain pula menghakimi sistem kita?”

Subramaniam mengingatkan perdana menteri bahawa India merupakan tanahair masyarakat Islam ke-3 terbesar di dunia.

“Mahathir tidak perlu risau, kerana di India ada orang secukupnya, termasuk pengikut-pengikutnya, yang akan memastikan dia mendapat perbicaraan yang adil,” katanya.

Mahathir sebelum ini berkata Putrajaya mungkin menolak permintaan menghantar pulang Naik daripada New Delhi. Penceramah kontroversi itu berdepan pertuduhan pengubahan wang melibatkan RM 115 juta.

Beliau menyamakan kes Naik dengan kengganan Australia menghantar pulang Sirul Azhar Umar yang disabit kesalahan membunuh kerana bimbang bekas anggota polis itu akan menerima hukuman mati.

“Naik umumnya berasa beliau tidak akan mendapat perbicaraan yang adil,” kata Mahathir.

Naik menafikan tuduhan terhadapnya. Beliau berkata walaupun dia mempercayai badan kehakiman India yang pernah membenarkan orang Islam daripada tuduhan keganasan, dia mungkin akan dilayan secara tidak adil oleh kerajaan BJP.