Penyiasat dedah penemuan baru MH17 minggu depan

Pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 ditembak jatuh misil BUK buatan Rusia pada 17 Julai 2014 ketika melintasi sempadan timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia (Gambar Reuters)

THE HAGUE: Penyiasat antarabangsa yang menyiasat nahas pesawat MH17 akan mendedahkan penemuan baru minggu depan, hampir 5 tahun selepas pesawat Malaysia Airlines ditembak jatuh di Ukraine.

Pasukan siasatan bersama (JIT) yang diketuai Belanda dalam satu kenyataan berkata, waris 298 kru dan penumpang pesawat itu akan dimaklumkan terlebih dahulu pada Rabu depan.

Katanya, sidang media “mengenai perkembangan dalam siasatan jenayah ke atas insiden menembak jatuh MH17” akan menyusul kemudian, tetapi tidak memberi butiran lanjut.

“Sidang media itu akan didahului satu mesyuarat tertutup dengan waris. Mereka akan dimaklumkan dengan perkembangan itu terlebih dahulu.”

Boeing 777 yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu ditembak jatuh misil BUK buatan Rusia pada 17 Julai 2014 ketika melintasi sempadan timur Ukraine yang dikuasai puak pemisah pro-Rusia.

Pada Mei 2018, Belanda dan Australia dilaporkan berkata, misil itu dilancarkan sepasukan briged tentera Rusia, tetapi Moscow menafikan dakwaan itu dan menuding jari kepada Kiev.

Mac lalu, Australia dan Belanda mengadakan rundingan pertama dengan Rusia berhubung siasatan itu.

Hampir 2/3 daripada mangsa korban dalam pesawat itu ialah warganegara Belanda dan 38 lagi ialah warga Australia.

JIT termasuk Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine.

JIT sebelum ini dilaporkan berkata, ia akan “berhati-hati” menyiasat dakwaan Moscow mengenai nahas itu, tetapi katanya, maklumat diberikan Rusia yang mendakwa kehadiran sebuah jet pejuang Ukraine dekat pesawat komersial itu berdasakan imej radar “tidak benar”.