Petisyen tuntut keadilan atas kematian pembantu rumah Indonesia dilancar

Tangkap layar petisyen dilancarkan Tenaganita bagi menuntut keadilan atas kematian pembantu rumah Indonesia, Adelina Jerima Sau tahun lepas. (Change.org pic)

PETALING JAYA: Selepas Jabatan Peguam Negara meletakkan kes kematian pekerja domestik, Adelina Jerima Sau sebagai tiada tindakan lanjut, satu petisyen dilancarkan di media sosial bagi menuntut pembelaan ke atas kematian wanita berusia 21 tahun itu.

Petisyen itu dibuat oleh sebuah kumpulan hak asasi wanita, Tenaganita, dan ditujukan kepada Peguam Negara Tommy Thomas, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong.

Setakat ini, petisyen yang dinamakan “Mengapa Pendera Adelina Masih Bebas? Rakyat Malaysia Menuntut #JusticeForAdelina” sudah menerima kira-kira 28,900 penyokong sejak ia mula tular pagi tadi.

Sebelum ini, FMT melaporkan peguam majikan Adelina yang dituduh mendera pekerja domestik itu berkata, pendakwa raya telah menarik balik pertuduhan ke atas anak guamnnya dan tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung perkara tersebut.

Peguam Anbananthan Yathiraju berkata, Jabatan Peguam Negara mengesahkan tidak berhasrat mengkaji semula pengguguran tuduhan terhadap anak guamnya, Ambika MA Shan.

Melalui petisyen itu Tenaganita menuntut Jabatan Peguam Negara memberikan penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia mengenai keputusan yang sudah dibuat dan apakah yang terjadi semasa prosiding mahkamah berjalan.

Petisyen tersebut turut menggesa kerajaan segera membentangkan Rang undang-undang Pekerja Domestik di Parlimen.

“Keadilan perlu ditegakkan untuk Adelina, dan keadilan itu perlu ditegakkan sekarang,” kata petisyen itu.

Adelina diselamatkan pada Februari 2018 selepas ditemui tidur di luar rumah majikannya di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Beliau mengalami kecederaan pada muka, tangan serta kaki dan meninggal dunia akibat kegagalan organ, sehari selepas dimasukkan ke hospital.