Polis nafi ceroboh rumah keluarga Haziq di Kuching

Ketua Polis Daerah Kuching, Awang Din Awang Gani. (Gambar Facebook)

KUCHING: Polis menafikan mereka menyalahgunakan kuasa dengan menceroboh rumah keluarga Ketua Pemuda PKR Bahagian Santubong, Haziq Aziz, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Awang Din Awang Gani berkata pemeriksaan di rumah itu dilakukan mengikut prosedur operasi standard ditetapkan, iaitu di bawah Seksyen 292 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kami menerima arahan daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman pada 13 Jun untuk mengesan Haziq dan merakam percakapan beliau serta keluarganya bagi siasatan yang dijalankan berhubung laporan polis dibuat di Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka menghantar 5 anggota polis ke rumah bapa Haziq, Abdul Aziz Ibrahim kira-kira 5.20 petang untuk membantu siasatan.

“Pasukan polis percaya ada penghuni di rumah berkenaan kerana terdapat kenderaan diletakkan di tempat letak kereta rumah tersebut,” katanya sambil menambah mereka turut memanggil pemilik rumah selama beberapa minit, tetapi tidak mendapat sebarang respons.

Disebabkan pintu pagar tidak berkunci, katanya, polis memutuskan untuk masuk ke rumah bagi memanggil tuan rumah sekali lagi dan Aziz kemudiannya memberikan maklum balas.

“Pegawai kanan polis yang mengetuai pemeriksaan tersebut telah memperkenalkan diri sebagai polis dan menunjukkan kas kuasa polis serta memaklumkan tujuan kehadiran polis ke rumahnya,” katanya sambil menambah ahli keluarga Haziq memberi kerjasama dan membenarkan mereka memeriksa rumah itu.

Bagaimanapun, Awang Din berkata, Aziz bertindak membuat laporan polis pada 1.13 pagi keesokannya dengan mendakwa polis dari Bukit Aman menceroboh rumahnya di Petra Jaya.

Rabu lalu, Haziq dalam satu rakaman video yang dimuat naik ke Facebook mengaku beliau mengadakan hubungan seks sejenis dengan seorang menteri.

Beliau menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video lucah itu, tetapi timbalan presiden PKR itu menafikan dakwaan itu dan mengugut akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Setiausaha sulit Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Akin, yang digantung tugas sejak semalam, mendakwa video itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil baru-baru ini.