Suspek bunuh 51 orang Islam di New Zealand dibicara 4 Mei tahun depan

Peguam Brenton Tarrant memberitahu mahkamah, tertuduh tidak mengaku salah atas 51 tuduhan membunuh, 40 cubaan membunuh dan melibatkan diri dalam keganasan.

CHRISTCHURCH: Lelaki yang dituduh menembak mati 51 orang Islam Mac, lalu hari ini senyum dan mengaku tidak bersalah atas puluhan tuduhan membunuh dan melakukan keganasan.

Hadirin di mahkamah, termasuk mangsa serangan, marah dengan tindakan tertuduh Brenton Tarrant melemparkan senyuman dalam sidang video yang dipancarkan dari sebuah penjara di Auckland di mana beliau di tahan.

Peguam Tarrant memberitahu hakim bahawa tertuduh tidak mengaku salah atas 51 tuduhan membunuh, 40 cubaan membunuh dan melibatkan diri dalam keganasan.

Susulan itu, mahkamah menetapkan 4 Mei tahun depan sebagai tarikh perbicaraan.

Hakim Cameron Mander turut memutuskan Tarrant, 28, sempurna akal untuk menjalani perbicaraan itu yang dijangka mengambil masa 6 minggu.

Beberapa mangsa serangan menyelar warga Australia itu kerana tidak menunjukkan sebarang rasa kesal, malah senyum dalam sidang video berkenaan.

“Beliau bersifat seperti binatang,” kata Mustafa Boztas, yang mengalami kecederaan di peha akibat ditembak oleh Tarrant.

“Saya sedih kerana seseorang sanggup mengambil nyawa insan tidak berdosa,” tambah beliau.

Berbekalkan senjata automatik, Tarrant didakwa menembak rambang terhadap jemaah yang hadir menunaikan salat Jumaat di masjid Al Noor dan kemudian menyerang jemaah di masjid Linwood.

Beliau memuat naik kedua-dua serangan secara langsung ke media sosial.