Video seks: Azmin belum dipanggil polis

Mohamed Azmin Ali.

SHAH ALAM: Mohamed Azmin Ali hari ini memaklumkan polis belum memanggilnya untuk disoal berhubung video seks sejenis miripnya yang tersebar di WhatsApp baru-baru ini.

“Tidak,” katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka kerajaan Selangor hari ini, selepas Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengumumkan polis sudah membuka kertas siasatan.

Timbalan presiden PKR itu juga memaklumkan polis sudah mengambil keterangan setiausaha politiknya, Muhammad Hilman Idham berhubung laporan polis yang dibuat Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa diugut Hilman.

“Saya difahamkan polis telah panggil Hilman pagi ini,” katanya.

Pada Rabu, Haziq menggemparkan negara apabila mendakwa dirinya terbabit dalam klip video seks sejenis yang tersebar di WhatsApp.

Beliau menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam klip video seks itu dan mendakwa kelakuan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil Parlimen itu baru-baru ini.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya komplot jahat untuk mencemarkan reputasi, keperibadiannya dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Semalam, Haziq membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatannya apabila seorang pembantu dikatakan dihantar individu kedua dalam klip video itu menemuinya di sebuah restoran di Putrajaya untuk memintanya menipu mengenai klip video terbabit.

Haziq mendakwa lelaki itu mengugutnya selepas beliau menolak permintaan itu.

Hilman menafikan dia ada mengugut Haziq dan berkata dia bertemu Haziq atas kapasiti peribadi tanpa pengetahuan Azmin.