Video seks: Polis ambil keterangan timbalan menteri

MELAKA: Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka hari ini untuk memberi keterangan berhubung kes video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Shamsul memberi keterangan berhubung pembabitan setiausaha sulit kanannya yang kini digantung tugas, Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang turut dikaitkan dengan rakaman video itu.

“Pasukan Bukit Aman menghubungi pejabat saya semalam meminta supaya saya dapat menghadirkan diri ke balai polis untuk memberikan keterangan pada 6.30 petang ini dan membantu siasatan,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka anjuran Parlimen Hang Tuah Jaya di Ayer Keroh hari ini.

Shamsul Iskandar berkata kali terakhir beliau menghubungi Haziq pada Selasa iaitu selepas pulang dari Yangon, Myanmar atas urusan rasmi, dan sehari selepas itu beliau cuba menghubungi bekas setiausaha sulitnya itu menerusi khidmat aplikasi WhatsApp namun tiada sebarang respons.

Semalam, Haziq digantung tugas serta-merta kerana didakwa memburukkan imej dan reputasi kementerian.