14 syarikat penuhi kriteria eksport durian Musang King ke China, kata Salahuddin

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, keputusan untuk mengeksport durian Musang King dalam bentuk buah sempurna berjaya diperolehi dalam masa singkat.

JOHOR BAHRU: Sebanyak 14 syarikat tempatan didapati memenuhi kriteria untuk mengeksport durian Musang King dalam bentuk buah sempurna ke China.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, pihaknya dan juga Kementerian Kesihatan telah membuat penilaian dan mendapati syarikat terbabit memenuhi kriteria dan piawaian yang ditetapkan oleh General Administration of Customs of People’s Republic of China (GACC).

“Daripada 14 syarikat ini, 7 telah dilawati GACC. Syarikat yang dipilih untuk mengeksport durian Musang King untuk fasa pertama ini akan diumumkan Isnin ini,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Parlimen Pulai anjuran Pakatan Harapan Pulai, di sini hari ini.

Salahuddin berkata, ini merupakan satu kejayaan besar bagi kementeriannya dan kementerian berkaitan memandangkan keputusan untuk mengeksport buah berkenaan dalam bentuk buah sempurna, diperoleh dalam masa yang singkat.

Bagaimanapun, beliau berkata masih ada peluang bagi syarikat yang tidak terpilih untuk mengeksport durian berkenaan sekiranya tidak terpilih pada fasa pertama ini.

Selain eksport durian Musang King secara buah sempurna, beliau berkata, potensi eksport durian turut boleh diperkembangkan dengan lebih meluas melalui produk hiliran berasaskan durian memandangkan pasaran China yang besar dan luas.

Meskipun begitu, kementerian juga akan memastikan bekalan untuk pasaran tempatan tetap terpelihara.

Sementara itu, ahli Parlimen Pulai itu juga berkata, kesemua bekalan barangan kawalan sempena sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai adalah mencukupi.

Ini adalah hasil kerjasama dua kementerian serta agensi berkaitan yang bertungkus lumus dalam memastikan bekalan barangan makanan adalah mencukupi selain harga kawalan sentiasa diikuti, katanya.