Apad: Bas khas wanita masih dalam tempoh percubaan

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook mengumumkan pengenalan perkhidmatan bas khas untuk wanita sewaktu melawat terminal bas Seremban Khamis lepas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bas ekspress khas wanita di laluan Seremban-Kuala Lumpur masih dipantau bagi mengenal pasti apa-apa kelemahan yang mungkin ada, kata Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Ketua pengarahnya, Azlan Shah Al-Bakri berkata, perkhidmatan itu masih dalam tempoh percubaan.

Beliau berkata, keputusan melaksanakan perkhidmatan itu dibuat berdasarkan maklum balas daripada penumpang wanita, selain mengambil maklum bahawa ia mendapat respons yang “sangat menggalakan” setakat ini.

Azlan berkata, Apad akan mengkaji sama ada wujud permintaan terhadap perkhidmatan yang sama di laluan sibuk lain.

Katanya, bas khas wanita hanya mewakili 4 daripada 24 perjalanan harian dari Seremban ke Kuala Lumpur. Ia disediakan pada waktu puncak pada sebelah pagi dan petang.

Wanita yang menggunakan perkhidmatan bas dengan pasangan lelaki, kawan dan saudara-mara mereka boleh menaiki bas biasa, katanya.

Azlan berkata, tiket untuk bas khas wanita dijual di pintu bas bagi menghalang penumpang lelaki daripada menggunakan perkhidmatan tersebut.

Semalam, sebilangan wanita dan pengusaha bas menyuarakan kebimbangan mengenai perkhidmatan tersebut.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia Mohamad Ashfar Ali bimbang mengenai kesan kewangan inisiatif itu ke atas pengusaha perkhidmatan bas.

Beliau tertanya-tanya apakah Kementerian Pengangkutan akan mewajibkan pengusaha bas menyediakan khidmat bas khas untuk wanita.

Aktivis hak wanita, yang mengalu-alukan perkhidmatan tersebut, berharap pihak berkuasa akan menguatkuasakan peraturan bagi memastikan tidak ada penumpang lelaki yang menggunakan perkhidmatan itu.

Peguam Samantha Chong bagaimanapun bertanya sama ada undang-undang jalan raya sedia ada membolehkan pihak berkuasa menghukum lelaki yang menaiki bas berkenaan.

Pakar pengangkutan Goh Bok Yen pula berharap penyediaan bas khas wanita tidak akan mengurangkan kekerapan perhidmatan bas sedia ada.