Azmin: Kabinet tidak bantah pelantikan Latheefa

Latheefa Koya mengambil alih tugas sebagai ketua pesuruhjaya SPRM daripada Mohd Shukri Abdull awal bulan ini. (Sumber SPRM)

GOMBAK: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hari ini berkata, Kabinet tidak menyuarakan apa-apa bantahan terhadap pelantikan peguam, Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM).

Azmin berkata, jemaah menteri mempersetujui pelantikan Latheefa dalam mesyuarat Kabinet Rabu lepas.

“Ya,” katanya ketika ditanya sama ada semua menteri bersetuju atas pelantikan itu.

Azmin bercakap kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya anjuran Masjid Bukit Antarabangsa di sini, hari ini.

Beliau berkata, perdana menteri mematuhi prosedur dalam mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong tentang calon ketua pesuruhjaya SPRM.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, pelantikan Latheefa ke jawatan tersebut adalah keputusannya dan beliau tidak berunding dengan Kabinet tentang perkara itu.

Bagaimanapun katanya, beliau “mendengar pandangan banyak pihak” sebelum memilih Latheefa.

Katanya, beliau akan “terikat” sekiranya Kabinet membuat keputusan berkenaan.

“Saya bebas menilai dan membuat pelantikan,” katanya.

Pelantikan tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada banyak pihak, termasuk pemimpin parti kerajaan.

Pihak yang mengkritik berkata, pelantikan tersebut sepatutnya dibuat melalui Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai pelantikan ke jawatan utama sektor awam.

Sesetengah yang lain berkata, manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 jelas menyebut ia menolak pelantikan politik. Latheefa merupakan ahli PKR sebelum pelantikan dibuat, tetapi meletak jawatan selepas itu.

Latheefa menggantikan Mohd Shukri Abdull yang dibenarkan menamatkan kontrak beliau lebih awal daripada tarikh asal pada 15 Mei tahun depan.