Azmin tak perlu direhatkan, kata Wanita PKR

Ketua Wanita PKR Haniza Mohamed Talha berkata, gesaan Otai Reformasi mendesak supaya Azmin direhatkan tidak mengambarkan semangat perjuangan PKR dalam melawan fitnah.

PETALING JAYA: Wanita PKR hari ini berkata, timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali tidak seharusnya direhatkan, malah perlu terus menumpukan perhatian kepada tugas untuk membangunkan negara.

Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha berkata, gesaan sekumpulan aktivis yang menamakan diri mereka Otai Reformasi mendesak supaya Azmin direhatkan tidak mengambarkan semangat perjuangan PKR dalam melawan fitnah.

“Kita harus lihat ke depan untuk majukan negara. Sebab itu kita sepakat bersama menyokong kepimpinan dan bersama-sama menghadapi ujian ini.

“Kita semua (wanita PKR) menolak politik kotor yang dirancang oleh pihak tertentu,” katanya dalam sidang medianya di Rumah Terbuka Wanita PKR di Ibu Pejabat PKR yang dihadiri barisan kepimpinan wanita parti itu.

Semalam Otai Reformasi mendesak supaya Azmin direhatkan berikutan penyebaran satu klip video hubungan seks sejenis yang didakwa melibatkan menteri hal ehwal ekonomi itu, selain meminta Dr Mahathir Mohamad menetapkan tarikh penyerahan kuasa kerajaan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Penyokong tegar reformasi itu juga mempersoalkan, perkembangan yang disifatkannya sebagai “kesungguhan” perdana menteri mempertahankan Azmin sebagai mangsa politik kotor.

Pengerusinya Idris Ahmad berkata, Azmin perlu direhatkan daripada tugas rasmi buat sementara bagi membolehkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Dalam pada itu, Haniza berkata, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil tindakan segera dan mengesan pihak yang menyebar video itu secara sewenang-wenang.

Katanya, SKMM perlu bertindak bagi membantu polis untuk menangkap pihak terbabit.

“Jadi saya harap SKMM mengambil berat perkara ini.

“Pihak SKMM juga harus pastikan video tersebut tidak menjadi tular kepada orang ramai,” katanya.

Haniza berkata, Wanita PKR negeri akan membuat laporan polis supaya pelaku yang mengaku terlibat dalam video itu, iaitu setiausaha sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Haziq Abdullah Abdul Aziz disiasat.

“Laporan polis telah dibuat sebab kita rasa ada sesuatu yang tidak kena dan ada pihak berniat jahat, lebih-lebih lagi apabila Haziq dilaporkan mahu melarikan diri, tetapi diberkas oleh polis,” katanya.

Haziq ditahan di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) petang semalam sebelum menaiki penerbangan ke Manila. Beliau yang kini ditahan polis dijangka dibebaskan lewat hari ini.

Ketika diminta memberi komen terhadap dakwaan bahawa perkara itu ada kaitan dengan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, Haniza berkata, beliau tidak mengetahui tentangnya, tetapi meminta pihak yang mempunyai bukti tampil membantu siasatan.