Berlin: Bom Perang Dunia II ditemui, 3,000 dipindahkan

Bom seberat 100kg ditemui di sebuah tapak pembinaan berhampiran pusat komersial di timur bandar Alexanderplatz. (Gambar AFP)

BERLIN: Sebutir bom seberat 100 kilogram ditemui di pusat bandar Berlin pada Jumaat, mengakibatkan kira-kira 3,000 orang dipindahkan, lapor agensi berita Xinhua.

Bom aero itu ditemui di sebuah tapak pembinaan berhampiran pusat komersial di timur bandar Alexanderplatz.

Anggota bomba dan polis mengepung kawasan berhampiran dalam jarak 300 meter. Skuad pemusnah bom turut dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

Kedai, restoran dan mercu tanda menara televisyen turut dikosongkan, selain perkhidmatan subway serta trem digantung sementara waktu.

Semasa Perang Dunia II, Berlin dibom dengan dahsyat, sebelum Angkatan Bersekutu membebaskan kota itu pada 1945.

Sekitar 3,000 bom masih dipercayai tertanam di bandar berkenaan, menurut akhbar tempatan Tagespiegel.

Pada April 2018, polis Berlin mematikan bom seberat 500 kg yang dijatuhkan pihak British, memaksa kira-kira 10,000 orang dipindahkan.