Haziq dijangka dibebaskan hari ini, kata peguam

Pasukan peguam Haziq, Sivanathan Ragava (kiri), Ramesh Sivakumar dan Afiqah Abdul Latiff di Hospital Kuala Lumpur awal hari ini.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Aziz yang mengaku beliau merupakan salah seorang daripada 2 lelaki yang mengadakan hubungan seks sejenis dalam satu rakaman video di sebuah hotel, dijangka dibebaskan hari ini daripada tahanan polis, kata peguam beliau.

“Pegawai penyiasat kes memberi jaminan (tentang pembebasan beliau) sewaktu saya berjumpanya di Hospital Kuala Lumpur awal pagi ini,” kata Ramesh Sivakumar kepada FMT.

Peguam itu berkata, polis merakamkan kenyataan Haziq malam tadi dan dibawa ke hospital hari ini.

“Satu pemeriksaan perubatan dijalankan ke atas Haziq dan beliau akan dibebaskan lewat hari ini,” kata beliau.

Pasukan peguam terdiri daripada Ramesh, Sivanathan Ragava dan Afiqah Abdul Latiff berada di hospital untuk berjumpa Haziq.

Polis perlu mendapatkan perintah tahanan reman daripada seorang majistret sekiranya siasatan hendak disambung melepasi tempoh 24 jam.

Dalam satu kenyataan malam tadi, ketua Jabatan Siasatan Jenayah Huzir Mohamed berkata, Haziq disiasat kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii dan mengedar bahan lucah.

Huzir berkata, Haziq, yang kini digantung tugas sebagai pegawai kepada seorang timbalan menteri, juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Beliau juga disiasat kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitan pecah keamanan awam.

Huzir berkata, polis menahan Haziq di balai pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 6 petang semalam sewaktu hendak menaiki penerbangan ke Manila.

Pada Rabu, Haziq mengaku beliau salah seorang daripada 2 lelaki yang dirakamkan sedang mengadakan hubungan seks sejenis di sebuah hotel di Sandakan bulan lepas.

Beliau mendakwa video berkenaan dirakamankan tanpa kebenarannya pada 11 Mei di hotel Four Points di Sandakan semasa pilihan raya kecil kerusi Parlimen itu.

Beliau juga menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali sebagai pasangannya dalam video berkenaan.

Azmin bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Haziq.