Haziq dilepaskan dengan jaminan polis, tiada siasatan lanjut, kata peguam

KUALA LUMPUR: Pegawai kepada ketua penerangan PKR, Haziq Aziz, yang ditangkap semalam dalam siasatan ke atas video seks sejenis mirip menteri, melangkah keluar daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi apabila dilepaskan dengan jaminan polis pada 5.45 petang tadi.

Peguamnya, Ramesh Sivakumar memaklumkan polis pada asalnya mahu sambung reman pegawai Shamsul Iskandar Md Akin itu, tetapi akhirnya mereka memberikan jaminan polis tanpa menetapkan sebarang bon jaminan.

“Haziq dikehendaki hadir pada bila-bila masa jika diperlukan polis. Namun sekarang ini tidak ada sebarang siasatan lanjut. Itu sahaja,” katanya ketika ditemui di luar balai polis hari ini.

Ramesh memaklumkan Haziq berpuas hati dengan layanan polis sepanjang penahanannya, dan tiada larangan pergerakan dikenakan ke atas anak guamnya.

Haziq ditahan sepasukan pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada lebih kurang 6 petang semalam. Beliau dijadual berlepas ke Manila, Filipina berdasarkan tiket penerbangannya.

Ditanya mengenai perjalanan itu, Ramesh hanya memaklumkan Haziq “perlukan masa sendiri untuk berehat”.

“Kami akan berjumpa lagi untuk berbincang jika ada keperluan untuk mengambil sebarang tindakan,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Pada Rabu, Haziq menggemparkan negara apabila mendakwa Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali pasangannya dalam satu video seks sejenis yang tersebar di media sosial.

Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang cuba mengaitkannya dengan video seks itu dan akan mengambil tindakan undang-undang.

Haziq disiasat mengikut 3 seksyen Kanun Keseksaan dan 1 seksyen Akta Komunikasi dan Multimedia.

Di bawah Kanun Keseksaan, Haziq disiasat mengikut Seksyen 292 kerana mengedar bahan lucah, Seksyen 504 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan, dan Seksyen 377B kerana melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii.

Seksyen-seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 3 tahun, atau denda, atau kedua-duanya; penjara sehingga 2 tahun, atau denda, atau kedua-keduanya; dan penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia, Haziq disiasat mengikut Seksyen 233 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Ia memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi 50,000, atau penjara tidak melebihi 1 tahun, atau kedua-duanya, boleh didenda selanjutnya bagi setiap kesalahan diteruskan selepas pensabitan.