Kabinet lulus tubuh jawatankuasa teliti cadangan mahkamah nafkah

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa.

PARIT BUNTAR: Jemaah menteri meluluskan penubuhan jawatankuasa khas bagi meneliti cadangan mewujudkan Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof Rawa berkata penubuhan jawatankuasa yang dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Mohd Na’im Mokhtar dipersetujui dalam mesyuarat jemaah menteri baru-baru ini.

Mujahid menjelaskan jawatankuasa itu akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Bank Negara dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana hukuman yang diputuskan oleh mahkamah tersebut kelak akan melibatkan transaksi kewangan.

“Kita perlu ada akta bagi Bank Negara dan KWSP kerana apabila mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas suami, macam mana Bank Negara, KWSP nak beku duit dia untuk bayar nafkah,” katanya pada sidang media pada majlis Aidilfitri di Dataran Kerian Permai hari ini.

Mujahid berkata perbincangan oleh jawatankuasa khas itu dijangka dapat diselesaikan hujung tahun ini.

Inisiatif penubuhan mahkamah khas itu bagi mempercepatkan masalah perkahwinan dan penceraian yang difailkan di Mahkamah Syariah selain membantu mengurangkan kes suami enggan membayar nafkah kepada isteri.

Dalam perkembangan lain, Mujahid meminta mana-mana pihak tidak mempolitikkan isu 10,000 kuota khas haji kerana pemberiannya merupakan hak mutlak Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz.

“Kuota itu hak Raja Salman, kalau dia nak bagi dan tidak bagi itu bukan isu kerajaan baru kerana kerajaan lama pun pada 2014 hingga 2017 tidak dapat kuota itu.

“Isu kuota haji sekarang berada di peringkat Raja Salman dan bukan di peringkat menteri.

“Selalunya Raja Salman bagi kuota di saat akhir dan kita mendoakan kalau diberikan kuota itu akan memberi peluang kepada bakal haji yang masih menunggu giliran dan yang membuat rayuan,” katanya.