Lapor pembunuh gajah, menang penginapan hotel mewah

Tiga gajah betina didapati diracun berdekatan sebuah ladang sawit di Johor minggu lepas. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan perlindungan haiwan menawarkan penginapan di sebuah hotel mewah bagi mereka yang mempunyai maklumat mengenai orang-orang yang bertanggungjawab ke atas kematian 3 ekor gajah betina kerana diracun di Kluang, Johor.

Pertubuhan Pasukan Tindakan Haiwan (AAT) menawarkan hadiah berupa penginapan 3 malam di sebuah hotel mewah di Putrajaya dan wang belanja sebanyak RM2,000.

Dalam poster tular yang dilihat FMT, AAT berkata hadiah tersebut untuk membekal maklumat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam menjejak dan menangkap suspek sehingga cukup bukti untuk menuduh suspek di mahkamah.

Presiden Sharul Nizam Abdul Rahim memberitahu FMT ganjaran diberikan kepada pemberi maklumat dengan keterangan yang membawa kepada pendakwaan di mahkamah.

“Kalau ada 2 pemberi maklumat, kami tidak akan teragak-agak untuk memberi hadiah kepada kedua-duanya.

“Tapi kalau lebih dari 2 orang, hadiah akan dibahagikan sama rata,” katanya.

Tiga gajah betina dilaporkan mati diracun berdekatan ladang sawit di Kluang, Johor minggu lepas.

Polis menemui bangkai-bangkai itu dan melaporkannya kepada penguatkuasa hidupan liar pada Selasa, menurut Ketua Pegarah Perhilitan, Abdul Kadir Abu Hashim.

Tiga gajah betina itu dipercayai daripada kumpulan 30 gajah dari hutan simpan berdekatan.

Hati dan ginjal daripada gajah terbabit sedang diperiksa bagi menentukan jenis racun yang digunakan, kata Menteri Sumber Asli Xavier Jayakumar menurut laporan media.

Sharul berkata setakat ini mereka sudah menerima 6 panggilan pertanyaan. “Ini peraduan betul,” katanya.

Beliau berkata AAT mahu membantu Perhilitan, yang menurutnya berdepan kekurangan kakitangan untuk menjalankan siasatan secara konsisten.

“Polis pula lebih menumpu kepada kes jenayah bawah Kanun Keseksaan. Lalu, kami mengambi inisiatif menggerakkan masyarakat menjadi perisik rakyat. Hanya satu matlamat iaitu undang-undang dapat ditegakkan,” katanya.

ATT yang didaftarkan pada Februari 2013 bermula sebagai badan yang menjaga kucing terbiar. Ia kemudiannya menjaga anjing terbiar, dan kini mahu melindungi haiwan liar.

Sharul berkata dia sudah memaklumkan Perhilitan mengenai peraduan itu.