Malaysia perlu dron lebih besar daripada ScanEagle, kata penganalisis

Dron ScanEagle yang dikeluarkan oleh Boeing Insitu Inc dijangka memainkan peranan penting di kawasan keutamaan tinggi seperti Laut Sulu dan Laut China Selatan. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Malaysia memerlukan dron lebih besar berbanding peralatan yang akan diterimanya daripada Amerika Syarikat, kata penganalisis pertahanan dari Institut Kajian Strategi dan Antarabangsa, Thomas Daniel.

Bagaimanapun beliau mengalu-alukan pemerolehan 12 kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) ScanEagle sebagai langkah mula yang baik dalam usaha memperkuat pemantauan maritim negara.

Daniel memberitahu FMT bahawa UAV berkenaan telah diuji dan lebih 20 negara menggunakannya.

Dron ScanEagle yang dikeluarkan oleh Boeing Insitu Inc dijangka memainkan peranan penting di kawasan keutamaan tinggi seperti Laut Sulu dan Laut China Selatan.

“Bagaimanapun Malaysia sangat memerlukan tahap kewaspadaan ruang maritim yang lebih baik. UAV lebih besar perlu diutamakan kerana ia mampu berada di udara lebih lama.

“Saya fikir memang ada rancangan untuk mendapatkan dron lebih besar,” kata Daniel.

Sumber memberitahu FMT, masalah kekurangan dana menghalang tentera udara kita mengambil langkah itu.

Menurut laman web Boeing, UAV tersebut mampu digunakan dalam persekitaran ekstrem bagi mengumpul risikan di darat dan laut dari altitud 5,944 meter ke bawah di medan tempur selama lebih 24 jam.

Dron itu, 6 daripadanya dijangka tiba di Malaysia pada November ini akan dikendalikan oleh tentera laut Malaysia di kawasan maritim yang dipertikaikan seperti Laut Sulu, Laut China Selatan dan Selat Melaka.

Dron taktikal ini dijangka memberi maklumat kewaspadaan tentang keadaan sekeliling dalam radius 400km kepada kapal yang menggunakannya.

Di bawah Rancangan Malaysia ke-12, Kementerian Pertahanan merancang untuk membeli 3 sistem udara tanpa pemandu (UAS) altitud sederhana berketahanan lebih lama (MALE).

MALE UAS paling terkenal di dunia ialah MQ-1 Predator, yang digunakan terutamanya oleh tentera udara Amerika Syarikat dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) negara itu.

“Ini akan memberikan kepada angkatan tentera kita fleksibiliti lebih tinggi, kewaspadaan situasi lebih baik dan kemampuan pengumpulan risikan lebih berkesan,” kata sumber yang mengetahui tentang perkara ini.

Katanya, tentera kita sedar tentang keperluan masa depan mereka dan sedang melatih anggotanya di dalam dan di luar negara untuk mengendalikan aset sedemikian, tetapi menambah bahawa Malaysia kini ketinggalan di belakang Singapura dan Indonesia kerana kekangan belanjawan.

“Sepanjang 10 tahun lepas, ancaman di rantau ini relatif tidak banyak dan kerajaan sentiasa mengutamakan rundingan serta pendekatan aman dalam menangani ketegangan yang berlaku,” katanya.

“Namun dalam masa terdekat, terutamanya dengan AS menampakkan minat lebih besar ke atas perkembangan di Laut China Selatan, keadaan mungkin menjadi lebih tegang.”

Ini bermakna Malaysia akan memerlukan UAS, satelit dan pesawat tempur pelbagai peranan bagi menggantikan pesawat negara yang semakin berusia.

Teknologi tempatan boleh menjimatkan perbelanjaan kerajaan dengan banyak, tetapi, walaupun universiti tempatan ada membangunkan UAV, namun komponen utamanya seperti pengimbas infra merah dan kamera perlu diimport.

Satu isu yang perlu ditangani kerajaan kata sumber itu lagi, ialah polisi pemerolehan, yang memerlukan penyertaan syarikat tempatan.

Beliau menambah, keadaan itu hanya berkesan dalam kes tertentu.

“Sebilangan syarikat tempatan bekerja kuat bagi mendapat manfaat daripada pemindahan teknologi, tetapi sebahagian yang lain hanya berperanan sebagai orang tengah. Bila mereka gagal menjalankan tugas, tentera kita terpaksa merujuk kepada pengeluar peralatan asal bagi mendapatkan sokongan serta alat ganti.

“Banyak wang hilang dalam kes begitu,” katanya.

Sumber berkata, kerajaan perlu mengimbangkan antara keperluan perolehan dengan matlamat membangunkan teknologi tempatan.

September lepas, seorang pegawai tinggi yang tahu tentang tentera udara berkata, tentera berkenaan tertekan kerana belanjawan penyelenggaraan pesawatnya terhad.

Terdahulu, Menteri Pertahahan Mohamad Sabu berkata, hanya 4 daripada 18 pesawat Sukhoi Su-30MKM buatan Rusia boleh berfungsi, sementara yang lain sedang dibaiki.