Malaysia perlu persoal kenapa Arab Saudi terus serang Yemen, kata pakar

Pakar hubungan antarabangsa berkata, Malaysia perlu memainkan peranan dalam menyelesaikan konflik Saudi-Yemen yang banyak mengorbankan orang awam dan kanak-kanak. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Seorang pakar hubungan antarabangsa berkata, Malaysia perlu mendesak Arab Saudi menjelaskan mengapa negara itu terus menyerang Yemen sehingga menjejaskan kehidupan rakyatnya.

“Ramai rakyat dan anak-anak yang tidak berdosa terbunuh dan kebuluran teruk di Yemen,” kata pengkaji di Universiti Utara Malaysia (UUM), Ahmad Marthada Mohamed kepada FMT.

Jelas Ahmad Marthada, meskipun Malaysia mengamalkan dasar tidak campur tangan dalam kemelut dan peperangan negara luar, ia masih boleh memainkan peranan dengan membantu menyelesaikan konflik yang berlaku melalui rundingan.

“Jika Saudi terus menyerang Yemen yang dilihat berpihak kepada Iran itu, maka tidak akan ada penyelesaian kepada konflik melibatkan 2 negara itu.

“Apatah lagi dengan bantuan negara yang bersekutu dengan Saudi, situasi di Yemen akan semakin meruncing dan rantau tersebut tidak stabil,” katanya.

Ahmad Marthada Mohamed.

Atas sebab itu, kata Ahmad Marthada, sebagai sebuah negara yang dihormati dan negara Islam contoh dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Malaysia mampu memberikan pandangan kepada negara terbabit dalam usaha meneroka jalan penyelesaian.

Katanya penyelesaian konflik bukan sahaja boleh menghentikan pembunuhan dan kebuluran d Yemen, malah tidak mustahil boleh memberi manfaat kepada Saudi.

“(Mungkin) kerajaan yang ditubuhkan di Yemen itu nanti akan mempunyai hubungan yang lebih baik dan pro kepada Saudi dan sekutunya,” katanya.

Semalam, media melaporkan Malaysia mengutuk keras serangan menggunakan peluru berpandu ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Abha yang mengakibatkan 26 orang cedera.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, serangan itu tidak boleh diterima dan melanggar undang-undang antarabangsa serta menjejaskan keamanan dan keselamatan Timur Tengah.

Sementara itu, seorang pengkaji hubungan antarabangsa di Universiti Istanbul di Turki, Amirul Mukminin ketika dihubungi berkata, Kementerian Luar melalui Wisma Putra wajar mengkritik tindakan menyerang Saudi.

Amirul Mukminin dari Universiti Istanbul, Turki.

Jelas Amirul, Malaysia berhak bertindak sedemikian bagi menjaga hubungan kedua-dua negara.

“Dalam undang-undang antarabangsa, tindakan pemberontak itu tetap salah,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai tindakan Wisma Putra yang dilihat mengkritik pemberontak yang menyerang Saudi, namun berdiam diri berhubung serangan Saudi ke atas orang awam di Yemen.

Katanya, jika kerajaan berbuat demikian, Malaysia akan dilihat seolah-olah berpihak kepada Iran.

Malaysia sebelum ini menempatkan tentera di Arab Saudi sejak tahun 2015 bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Yemen yang berhadapan konflik, tetapi membuat penarikan balik berikutan perubahan kerajaan pada Mei 2018.