Pesakit Orang Asli Kuala Koh di Hospital Hulu Terengganu stabil

Orang Asli Kampung Kuala Koh sedang menerima rawatan di Hospital Gua Musang susulan penularan pneumonia. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Semua 7 Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan yang dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang pada Rabu kerana mengalami gejala batuk dan sesak nafas masih menerima rawatan di hospital tersebut.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Mohd Jusoh berkata semua mereka berada dalam keadaan yang stabil.

“Selain 7 pesakit itu, seorang lagi yang dimasukkan ke hospital yang sama kerana mengalami cirit-birit, sakit perut serta muntah juga masih menerima rawatan sebagai pesakit Acute Gastroenteritis (AGE) ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semua 8 pesakit yang dimasukkan ke hospital itu berumur antara 4 dan 25 tahun yang terdiri daripada 3 perempuan dan 5 lelaki.

Seramai 23 Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh tinggal di Kampung Gerdong, Hulu Terengganu secara berperingkat iaitu 7 orang telah lama menetap di kawasan itu manakala 16 lagi baru berpindah pada 8 Jun lalu.

Terengganu mempunyai 4 perkampungan Orang Asli di 3 daerah di negeri ini iaitu 2 di Hulu Terengganu selain Besut dan Kemaman.

Sementara itu di Kemaman, Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar berkata orang ramai perlu memberi ruang kepada pihak yang bertanggungjawab untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian yang berlaku di Gua Musang tersebut dan kaitannya dengan 7 pesakit Orang Asli yang kini berada di Hospital Hulu Terengganu.

“Sejak tragedi ini berlaku, pelbagai andaian dan tafsiran diberi oleh pelbagai pihak sedangkan punca sebenar masih belum diketahui kesahihannya. Kita semua beri ruang kepada pihak berkuasa kerana mereka lebih arif dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani permasalahan ini.

“Bagi kerajaan Terengganu, kita akan memberi kerjasama terbaik untuk menyelesaikan perkara ini agar dapat diselesaikan segera,” katanya.