Pesakit Orang Asli suku Batek meningkat kepada 112 semalam

Masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang menjadi perhatian selepas 14 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan penyakit yang tidak diketahui puncanya. (Gambar Bernama)

GUA MUSANG: Jumlah Orang Asli suku Batek yang dijangkiti penyakit tidak diketahui puncanya meningkat seramai 9 pesakit kepada 112 semalam, berbanding 103 orang pada Khamis lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin berkata, 4 pesakit masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), masing-masing seorang di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan 3 pesakit di Hospital Kuala Krai (HKK).

“Sementara itu, seramai 48 pesakit dirawat di wad biasa di HKK dan Hospital Gua Musang (HGM), manakala 19 pesakit ditempatkan di Rumah Inap Kesihatan Orang Asli (RIKA) Gua Musang di sini.

“Baki 41 pesakit pula menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, statistik tersebut hanya merangkumi 2 kematian yang disahkan dan tidak membabitkan 12 kematian  lain.

Masyarakat Orang Asli suku Batek mula menjadi perhatian selepas 14 daripada mereka dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan penyakit yang tidak diketahui puncanya.

Hasil bedah siasat ke atas 2 mayat sebelum ini mendapati mangsa meninggal dunia akibat jangkitan radang paru-paru (pneumonia).