Ringgit dijangka diniagakan sekitar 4.15 ke 4.18 berbanding dolar AS minggu depan

Bayangan mengenai tindakan Rizab Persekutuan AS menurunkan kadar faedah boleh menjejaskan dolar, sebaliknya meningkatkan mata wang Asia.

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka diniagakan dalam lingkungan 4.15 dan 4.18 berbanding dolar AS minggu depan berikutan penyusutan mata wang dolar serta keputusan Rizab Persekutuan (Fed) negara itu membabitkan kadar faedah, kata penganalisis.

Penganalisis pasaran FXTM, Han Tan berkata, keputusan yang bakal diumumkan itu akan menjadi penggerak utama pasaran global dalam minggu akan datang ketika pasaran sememangnya menjangkakan Fed akan melakukan penurunan itu pada tahun ini.

“Walaupun pihak Fed dijangka tidak mengambil sebarang keputusan dasar monetari pada bulan ini, sebarang bayangan mengenai tindakan menurunkan kadar faedah boleh menjejaskan dolar AS dan sebaliknya meningkatkan mata wang Asia.

“Dolar AS ternyata agak lemah berikutan jangkaan penurunan kadar faedah dalam beberapa bulan akan datang,” katanya.

Setakat bulan ini, kebanyakan aset serantau turut mendapat manfaat berikutan kebuntuan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China, walaupun sentimen pasaran masih terdedah kepada risiko susut jika ketegangan itu terus ketara.

Menurut Tan, unjuran ekonomi AS pada minggu depan juga boleh mempengaruhi sentimen risiko dengan sebarang risiko penurunan ketara negara ekonomi terbesar dunia itu boleh mencetuskan kebimbangan mengenai kelembapan global lebih berleluasan serta menyebabkan aset Asia susut daripada kenaikan yang dicatatkan baru-baru ini.

Sementara itu, sepanjang minggu ini, ringgit kebanyakannya diniagakan dalam lingkungan 4.16 hingga 4.17 berbanding dolar AS, dipacu oleh angka pengeluaran perindustrian pada April yang lebih baik daripada jangkaan serta keyakinan bahawa Fed akan menurunkan kadar faedah.

Bagi asas Jumaat-Jumaat, ringgit susut kepada 4.1650/1690 berbanding dolar AS daripada 4.1570/1620, sebelum ini.

Dalam pada itu, ringgit turut didagangkan kebanyakannya rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0457/0491 daripada 3.0396/0444 sewaktu ditutup pada Jumaat lepas dan bagi yen Jepun, ringgit turun kepada 3.8490/8534 daripada 3.8275/8331 serta rendah berbanding euro kepada 4.6940/6989 daripada 4.6787/6860, sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.2691/2759 daripada 5.2844/2924.