Saya akan terus berkhidmat kerana terima sokongan ramai, kata Azmin

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pada Majlis Akrab Aidilfitri di Bukit Antarabangsa hari ini.

AMPANG: Mohamed Azmin Ali hari ini menegaskan beliau akan terus berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi kerana mendapat sokongan kuat rakyat walaupun didakwa terlibat dalam hubungan seks sejenis yang rakaman videonya tular baru-baru ini.

Azmin yang ditemui pada Majlis Akrab Aidilfitri anjuran Masjid Bukit Antarabangsa dekat sini berkata, beliau sangat gembira dengan kedatangan orang ramai ke acara berkenaan dan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan.

“Anda lihat banyak orang datang, terutama dari kawasan Parlimen saya. Mereka sangat kenal saya dan mereka kata akan bersama-sama saya.

“Maksud saya mereka datang dan beri sokongan dan ada juga yang datang ke rumah beri sokongan,” katanya di Dataran Rekreasi Bukit Antarabangsa.

Rabu lalu, setiusaha sulit Timbalan Menteri Perusahaan Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Haziq Abdullah Abdul Aziz menggemparkan negara apabila mendakwa dirinya terbabit dalam klip video seks sejenis yang tersebar di WhatsApp.

Beliau menamakan Azmin sebagai pasangannya dalam klip video seks itu dan mendakwa hubungan seks itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, ketika pilihan raya kecil Parlimen itu baru-baru ini.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai komplot jahat untuk mencemarkan reputasi, keperibadian dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Semalam, Haziq membuat laporan polis kerana bimbang dengan keselamatannya apabila seorang lelaki yang dikatakan dihantar oleh individu ke-2 dalam klip video itu menemuinya di sebuah restoran di Putrajaya untuk memintanya menipu mengenai klip video terbabit.

Haziq mendakwa lelaki itu mengugutnya selepas beliau menolak permintaan itu.

Setiausaha politik Azmin, Muhammad Hilman Idham menafikan beliau mengugut Haziq, walaupun mengakui dia bertemu Haziq atas kapasiti peribadinya tanpa pengetahuan Azmin.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Adun Bukit Antarabanhsa berkata beliau akan terus fokus dalam melaksanakan tugas sebagai menteri dan menyokong polisi yang dilaksanakan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Selepas 60 tahun kita nantikan perubahan ini dan rakyat telah lakukannya pada pilihan raya umum lalu.

“Jadi tanggungjawab Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan baru ialah untuk membuat polisi baru, iaitu politik baru dan nilai baru yang harus kita pertahankan,” katanya.

Berhubung desakan kumpulan Otai Reformasi supaya beliau direhatkan, Azmin mengulangi gesaan Mahathir supaya masyarakt menghentikan permainan politik kotor.

Semalam sekumpulan aktivis yang menamakan diri mereka Otai Reformasi mendesak supaya Azmin direhatkan berikutan penyebaran klip video berkenaan, selain meminta Mahathir menetapkan tarikh penyerahan kuasa kerajaan kepada Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Penyokong tegar reformasi itu juga mempersoalkan, perkembangan yang disifatkannya sebagai “kesungguhan” perdana menteri mempertahankan Azmin sebagai mangsa politik kotor.

Pengerusinya Idris Ahmad berkata, Azmin perlu direhatkan daripada tugas rasmi buat sementara bagi membolehkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan.

Azmin berkata, pihak berkuasa sedang menyiasat perkara itu dan semua pihak harus membenarkan mereka berbuat demikian.

“Saya akan beri komitmen dan mahu siasatan dilakukan. Saya akan beri sokongan penuh kepada siasatan ini,” katanya.

Azmin juga berkata, pada masa ini, polis belum memanggilnya lagi.

Beliau bagaimanapun berkata, polis akan mengambil keterangan Hilman Isnin ini.

Beliau juga berkata telah bercakap dengan Anwar sebelum ini dan memberi penjelasan mengenai isu video itu.