Bekas KM Sabah gesa laporan media lebih seimbang mengenai China

Terdapat lebih banyak berita seimbang mengenai dasar dan langkah baik kerajaan China dalam media berbahasa Cina di Malaysia. (Gambar Reuters)

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee menuduh media bukan berbahasa Cina di Malaysia bersikap anti-China dan menggesa liputan yang lebih seimbang.

Yong, yang merupakan penasihat Persatuan Penulis Cina Sabah berkata, peningkatan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan China menyebabkan pertubuhan berita Barat tertentu memaparkan gambaran negatif tentang China.

Berikutan itu, artikel anti-China juga kerap diterbitkan dalam media berbahasa Inggeris dan Melayu di negara ini.

Beliau berkata, terdapat lebih banyak berita seimbang mengenai dasar dan langkah baik China dalam media berbahasa Cina, “tetapi tidak banyak berita dan analisis sedemikian dalam media bukan berbahasa Cina”.

Bekas ketua menteri Sabah, Yong Teck Lee.

Yong berkata, kebanyakan pegawai kerajaan hanya membaca media berbahasa Inggeris dan Melayu.

“Jika mereka, dan juga profesor universiti, tokoh perniagaan dan berpengaruh lain, tidak mendapat gambaran penuh tentang keadaan yang wujud, maka tidak dapat dielakkan sekiranya sebahagian mereka mendapat perspektif salah tentang situasi sejagat dan serantau,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat Cina di Sabah juga perlu lebih banyak membaca media bukan berbahasa Cina, terutama yang melibatkan pengalaman di China.

Masyarakat Cina tidak harus berpuas hati dengan liputan mengenai aktiviti mereka hanya dalam media berbahasa Cina, katanya.