Bukan semua salah wanita, lelaki juga main peranan jadi bapa

Menjadi seorang ayah merupakan anugerah terindah dalam kehidupan seseorang.

Namun tidak siapa tahu perjalanan untuk menjadi seorang ayah bukanlah mudah.

Tidak semestinya nampak sihat di luaran dan memiliki segalanya menjamin seseorang itu dengan mudah memiliki zuriatnya sendiri.

Itulah pengalaman yang dilalui oleh Dr. Shazril Shahruddin dan isterinya Dr. Azura Abas.

Pasangan bahagia ini berkahwin pada 30 Mac 2014 pada mulanya memilih untuk tidak mempunyai anak dalam masa terdekat kerana komitmen kerja sebagai doktor “housemanship” di hospital kerajaan.

Dan pada 2017 kedua-duanya memutuskan untuk berhenti kerja sebagai doktor di hospital kerajaan dan memilih untuk menjadi doktor sambilan manakala isterinya menjadi doktor kecantikan (aesthetic).

Shazril juga memilih untuk menjadi model sambilan dan antara iklan yang mendapat perhatian adalah pencuci tandas “Harpic” serta memenuhi undangan untuk bercakap mengenai kesihatan.

Bermula dari situlah mereka mula merasa sudah bersedia untuk memiliki anak bagaimanapun selepas segala usaha mereka masih gagal.

Dan seperti biasa “typical minded” seorang suami mengatakan ini semua salah wanita.

Shazril yang pada mulanya merasakan dirinya sempurna kerana sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam terkedu apabila dimaklum dirinya tidak subur sedangkan isterinya yang sudah menjalankan pemeriksaan mendapati langsung tiada masalah.

Doktor memaklumkan hasil ujian semen mendapati Shazril mengalami “Teratozoospermia” iaitu sperma tidak normal morfologi.

Sehubungan itu doktor pakar yang merawatnya menasihatkan untuk dia tidak lagi memakai seluar ketat, kurangkan pengambilan kafein dan ikut arahan makan ubat yang diberikan.

Bagaimanapun disebabkan tekanan berterusan yang diterima, isterinya mencadangkan untuk membuat prosedur IVF (persenyawaan luar Rahim) yang ternyata mahal hingga mencecah RM18,000.

Namun Shazril kekal positif meneruskan tips yang diberikan doktor pakarnya selama 3 bulan dan akhirnya isterinya disahkan mengandung.

Sebagai seorang lelaki ia tentulah sesuatu yang amat dibanggakannya kerana bakal menjadi seorang ayah.

Malah dia yang terlebih “excited” mengatur segala persiapan untuk isterinya.

Bagaimanapun sebaik sahaja memasuki “second trimester pregnancy” isterinya mengalami pendarahan dan mereka sekali berdepan kegusaran bimbang kehilangan bayi yang dikandung.

Apatah lagi bayi yang dikandung itu adalah bayi lelaki yang mereka gelar sebagai “Say Jr”.

Selepas menjalani pemeriksaan mendapati pangkal rahim isterinya agak pendek, itulah punca menyebabkan berlakunya pendarahan dan jika tidak dirawat bayi akan lahir “pra matang”.

Selepas diberi ubat hormon pendarahan berhenti dan isterinya dinasihatkan untuk lebih banyak berehat.

Sebaik kandungan bayi berusia 39 minggu doktor menjangkakan “Say Jr” akan lahir dalam masa seminggu jadi Shazril pun mengambil keputusan untuk menerima tawaran berlakon iklan bagaimanapun sebaik tiba di lokasi isterinya memaklumkan air ketuban pecah.

Dia yang terpaksa menghabiskan pengambaran terlebih dahulu kerana memegang watak utama bergegas ke hospital sebaik sahaja mengetahui denyutan jantung bayinya semakin lemah.

Sebaik tiba di hospital doktor pakar yang bersama dengan isterinya memaklumkan akibat tali pusat terlalu ketat di leher bayi membuatkan isterinya memutuskan untuk meneruskan kelahiran melalui pembedahan.

Shazril ternyata amat bersyukur kerana proses pembedahan berjalan lancar dan kini dia bergelar “daddy” kepada anak lelakinya seberat 3.3kg yang diberi nama Aezriel Muhammad Shazril.

Bagi Shazril tiada kata-kata yang dapat menggambarkan betapa bangga dan bersyukur kepada Allah kerana mampu bergelar ayah dan memiliki zuriat sendiri.

Malah dia bangga dengan keberanian isterinya membuat keputusan drastik demi menyelamatkan bayi mereka.

Bagi semua suami yang masih belum bergelar ayah, bapa, papa, abah atau daddy jangan mudah menyerah kalah dan putus asa.

Tiada yang mustahil melainkan diri sendiri yang tidak berusaha dan masih dengan sikap ego menyalahkan wanita.

Selamat Hari Bapa!

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]